Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Mengajar Bahasa Jepun di luar bandar amat mencabar - guru


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





Oleh Nurfardlina Izzati Moktar

REMBAU, 16 Mei (Bernama) -- Mempelajari bahasa Jepun bukanlah sesuatu yang mudah dan ia lazimnya dipelajari di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai mata pelajaran tambahan bagi seseorang pelajar yang berminat.

Bahasa berkenaan kini bukan sahaja dipelajari mahasiswa universiti bahkan turut dipelajari oleh pelajar sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah harian sebagai inisiatif Kementerian Pendidikan yang mahu semua pelajar diperkasakan dengan bahasa Jepun sebagai bahasa ketiga selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Menceritakan soal itu, guru Bahasa Jepun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sedia Raja, di sini, Siti Shalizza Zulkafli, 39, berkata tugas mengajar mata pelajaran berkenaan bukanlah sesuatu mudah khususnya kepada pelajar di luar bandar berbanding bandar yang lebih terdedah dan ia memerlukan komitmen yang tinggi bagi menarik minat mereka.

“Mendekati pelajar luar bandar memerlukan pelbagai pendekatan berbanding pelajar bandar yang sudah biasa dengan penerimaan budaya yang lebih ‘advance’ dan baharu berbanding mereka. Jadi di sini lah cabarannya bagi saya untuk menarik minat mereka.Kebanyakan pelajar di sekolah ini datang daripada keluarga susah dan kurang berkemampuan. Jadi ketika saya mula-mula mengajar Bahasa Jepun kepada mereka, ada yang susah menerima untuk mempelajari bahasa asing tersebut.

“Namun berkat kesabaran dan minat saya dalam mengajar sesuatu benda baharu kepada anak-anak ini, saya cuba satu pendekatan unik yang lain daripada kebiasaan sewaktu mengajar dalam kelas bagi menarik perhatian mereka,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang telah lapan tahun mengajar bahasa Jepun berkata demikian ketika ditemui Bernama, di sini.

“Oh Soran Bushi ialah lirik lagu berkaitan dengan tarian nelayan di Jepun yanng sering saya gunakan ketika pembelajaran. Di samping pelajar saya dapat belajar tentang tarian, mereka juga dapat mempelajari bahasa dan budaya Jepun. Selain itu, saya juga akan membeli sendiri bahan-bahan asli yang diimport dari Jepun iaitu serbuk rumpai laut yang digunakan untuk makanan Okonomiyaki,Takoyaki dan Onigiri semasa mengadakan kelas memasak bersama dengan pelajar.

“Dari situ saya memperkenalkan bahan-bahan dalam bahasa Jepun kepada mereka bagi memudahkan mereka memahami dan mempelajari bahasa itu dalam suasana pembelajaran yang lebih santai dan tidak terlalu stress tetapi menyeronokkan,” katanya.

Menyedari tanggungjawab yang digalasnya amat berat, anak jati Seremban itu rela berkorban masa, wang dan tenaga bagi memastikan ilmu yang diperolehinya daripada negara matahari terbit itu dapat disampaikan sebaiknya kepada pelajarnya.

Katanya, jika 10 tahun lepas, Malaysia muncul sebagai negara ke-12 teramai mempelajari bahasa Jepun di dunia, kini beliau mengharapkan lebih ramai pelajar termasuk masyarakat turut mempelajari bahasa berkenaan demi kemajuan diri, kerjaya dan juga ilmu pengetahuan.

“Sepanjang saya mengajar, ada satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan iaitu beberapa pelajar menghadiahkan seutas gelang buatan sendiri beserta kad ucapan yang ditulis dalam bahasa Jepun sempena sambutan Hari Guru.

“Saya begitu terharu dengan usaha gigih kesemua pelajar itu tersebut kerana saya tidak pernah mengajar bahasa Jepun sebelum ini kepada mereka disebabkan mereka tidak menyertai kelas saya namun saya dapati mereka ada kesungguhan untuk menulis ucapan itu dalam bahasa Jepun,” katanya.

Selain itu katanya, adalah menjadi kepuasan bagi dirinya menabur bakti kepada pelajar di luar bandar yang kurang terdedah dengan pembelajaran mata pelajaran bahasa asing.

“Ini satu kepuasan kepada diri saya apabila dapat menabur bakti kepada anak-anak luar bandar yang kurang terdedah dengan cara pembelajaran lebih canggih dan memberi nilai tambah kepada mereka dalam menggunakan bahasa ketiga selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Saya berharap anak-anak ini berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi termasuklah ke negara Jepun. Saya sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak didik saya dan berharap mereka dapat mengurangkan stigma bahawa mempelajari bahasa asing adalah sesuatu yang sukar,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel