Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasangan kekasih ditahan miliki syabu dan ganja bernilai RM50,000


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Hasrat sepasang kekasih untuk mencari duit raya dengan mengedar dadah membawa padah apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah hotel di Pusat Komersial Seksyen 7 di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharuddin Mat Taib berkata dalam serbuan pada kira-kira pukul 1.10 pagi itu, kedua-dua suspek, berumur 25 dan 22 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel yang diduduki oleh pasangan ini, polis telah menjumpai sebanyak 182 gram (g) dadah dipercayai jenis syabu dan 5.97g dadah dipercayai jenis ganja, melalui siasatan awal kami, pasangan kekasih ini mula mengedar dadah sejak sebulan lepas dan hanya mengedarkannya kepada kenalan rapat sahaja untuk mengelak daripada dikesan polis.

"Pada waktu yang sama pihak polis turut membuat satu lagi serbuan di sebuah bilik berlainan di hotel sama dan telah menahan lima lelaki berumur lingkungan 20-an yang merupakan pelanggan pasangan berkenaan serta merampas syabu 5.93g yang dipercayai untuk kegunaan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini 

Tambah Baharuddin, pasangan berkenaan menjadikan hotel bajet di sekitar Shah Alam sebagai tempat pengedaran, pembungkusan dadah serta dijadikan lokasi bagi pelanggannya melepaskan gian.

Beliau berkata, pasangan kekasih berkenaan baru sebulan menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan sekitar Shah Alam dan dipercayai menjual dengan harga RM80 hingga RM100 bagi setiap gram.

"Mereka dipercayai ingin mencari 'duit raya' dengan menjual syabu berikutan harganya lebih mahal dan mendapat sambutan berbanding heroin, satu peket syabu dengan kuantiti segram mampu dijual sehingga RM100 bagi pasaran daerah ini sehingga dikatakan mampu meraih keuntungan mencecah RM20,000 seminggu," katanya.

Kata Baharuddin lagi, pasangan berkenaan kini direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Lima lelaki yang ditahan telah disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Aloysious Jounoh usahawan roti tempatan di Tuaran

 
     

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

 
     

Kos beli vaksin untuk pendatang asing akan diumumkan nanti

 
     

Perpaduan sebenar tidak kenal fahaman politik, amalan kepercayaan - Daud Yusof

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel