Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keluarga bekas wartawan sambilan antara dibantu dalam "Kita Kongsi"


Tarikh kemaskini: 16/05/2019





JELI, 16 Mei (Bernama) -- Keluarga bekas wartawan sambilan Kosmo yang meninggal dunia hampir setahun lepas ialah antara yang dikunjungi Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) dalam program "Kita Kongsi" anjuran kelab itu hari ini.

Rombongan Kemudi yang diketuai presidennya, Azran Fitri Ab Rahim mengunjungi Rohana Yaacob, 41, balu kepada allahyarham Shamsul Bahri Mohamad, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada September tahun lepas, di rumah keluarga itu di Kampung Ayer Lanas di sini.

Program itu mendapat kerjasama hotel Royal Guest House (RGH) , Kelate Creative TV (KCTV) dan Institut Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan (IMPAK).

Dalam kunjungan itu, Azran menyerahkan wang tunai, manakala RGH memberikan juadah berbuka puasa manakala IMPAK memberi barang keperluan dapur.

Rohana, yang bekerja sebagai guru agama Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan pendapatan RM800 sebulan, mengucapkan terimakasih dan bersyukur atas bantuan itu.

Ibu kepada lima orang anak berusia 8 tahun hingga 18 tahun itu berkata bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan mereka dalam menyambut lebaran tidak lama lagi.

Selain keluarga Rohana, Kemudi turut mengunjungi tiga keluarga lain di kampung itu untuk memberikan bantuan serupa.

Sementara itu, Azran berkata ini adalah tahun kedua Kemudi bersama RGH dan KCTV mengadakan program berkenaan bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain.

"Alhamdulillah program ini banyak mendapat kerjasama beberapa pihak yang mahu membantu bersama menyantuni keluarga-keluarga seperti ini ketika Ramadan," katanya.

Beliau mengharapkan lebih banyak NGO turut sama menyertai program itu dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan terutama menjelang Aidilfitri.

Pengerusi IMPAK, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad pula berkata program itu sangat baik dan yakin lebih banyak NGO akan bersama menjayakannya pada masa depan.

Pada program itu RGH diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Rusmin Raja Mahmud dan KCTV oleh Pengarah Operasinya, Norazwatul Akmal Kasmuri.

Hadir sama Penghulu Mukim Ayer Lanas, Mat Zaib Abdullah. 

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel