Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pemaju gagal bayar pinjaman bank, 11 tanah didaftar atas nama PMBK dilelong 27 Mei


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





KOTA BHARU, 15 Mei (Bernama) -- Sebanyak 11 tanah yang didaftarkan atas nama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) akan dilelong pada 27 Mei ini ekoran kegagalan pihak syarikat pemaju membayar pinjaman kepada bank.

PMBK dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan Perjanjian Pembangunan Bersama yang ditandatangani antara PMBK dengan dua syarikat pada 29 Jun 2011, membabitkan tanah 14 hektar yang dikenal pasti kerajaan negeri untuk projek Bandar Baru Tunjong (BBT).

Katanya bersesuaian dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, pengambilan balik tanah itu sebelum ini dibuat PMBK menyebabkan anak syarikat kerajaan negeri itu dinamakan sebagai pemilik berdaftar tanah berkenaan.

"Sebuah syarikat kemudian dilantik sebagai pemaju utama yang menyelaras keseluruhan pembangunan BBT, manakala satu syarikat lagi dilantik sebagai pihak yang melaksana dan menanggung segala kos termasuk pembangunan dan pengambilan tanah yang bernilai RM19.4 juta pada waktu itu.

"PMBK dan dua syarikat itu bersetuju bahawa tanah berkenaan tidak dipindah milik kepada syarikat itu, sebaliknya akan dipindah milik secara terus kepada pihak pembeli bagi unit projek kelak, " katanya.

Dengan mengambil kira bayaran pengambilan bernilai RM19.4 juta, PMBK selaku pemilik berdaftar  membenarkan syarikat berkenaan mendapatkan kemudahan pembiayaan ‘gadaian pihak ketiga tanpa tanggungan’ daripada bank untuk menyelesaikan pinjaman bagi pengambilan balik tanah dan seterusnya memulakan pembangunan di tanah terbabit.

Menurut kenyataan itu lagi, syarikat terbabit sudah menyiapkan fasa 1 pembangunan iaitu sebuah pasar raya besar Giant, manakala fasa 2 pula membabitkan sebuah pangsapuri setinggi 40 tingkat yang berjalan setakat penyiapan asas cerucuk dan terhenti sehingga ke hari ini.

Kenyataan sama menjelaskan PMBK sudah menyediakan pelan pembangunan di BBT dan bagi merealisasikan pembangunan itu, pengambilan tanah perlu dilakukan melalui kaedah yang ditetapkan undang-undang.

"Proses yang membabitkan jumlah kewangan yang tinggi ini sudah mendapat pembiayaan oleh pihak bank untuk menjayakannya, sebelum diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai keupayaan kewangan.

"Walaupun tanah itu didaftarkan atas nama PMBK, namun PMBK bukan pemilik sebenar memandangkan syarikat yang dilantik mempunyai hak 'de facto' ke atas tanah berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, tuntutan bank adalah untuk mendapatkan nilai tunggakan daripada lelongan tanah projek dan bank juga tidak membuat tuntutan penyelesaian tunggakan daripada PMBK, malah tuntutan sedemikian tidak dibenarkan di mahkamah.

Terdahulu, satu notis pengisytiharan jualan mengenai lelongan aset PMBK diiklan melalui akhbar pada 13 Mei lalu, dengan harga rizab bernilai RM66.7 juta (nilai semasa).

Iklan itu menyatakan permohonan lelongan sebanyak 11 lot tanah oleh Malayan Banking Berhad (Maybank) selaku plaintif, manakala PMBK sebagai defendan.

Menurut notis itu, jualan melalui lelongan awam itu yang akan dibuat pada 27 Mei ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, membabitkan berkeluasan kira-kira 12.6 hektar  di Bandar Baru Tunjong, di sini.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel