Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Ramadan sejiwa dengan masyarakat Orang Asli Pos Tuel


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





Oleh Hafizi Che Ramli

GUA MUSANG, 15 Mei (Bernama) -- Seramai 1,089 Orang Asli di Pos Tuel dekat sini, yang juga kumpulan pertama dalam kalangan masyarakat di situ memeluk Islam 22 tahun lepas, menyambut Ramadan sama seperti umat Islam lain di seluruh dunia - berpuasa pada siang harinya dan menunaikan solat sunat Tarawih pada malamnya.

Berpuasa tidak lagi menjadi cabaran sukar buat mereka berbanding semasa awal pengislaman mereka dahulu.

Boleh dikatakan setiap tahun mereka tekun melaksanakan ibadah wajib itu sehinggalah tibanya 1 Syawal apabila mereka menyambut Aidilfitri dengan penuh meriah pula dengan amalan kunjung-mengunjung.

Seorang guru agama Orang Asli yang dilantik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Angah Amat, 48, berkata, beliau adalah orang terawal dari suku Kaum Temiar di pos itu yang terbuka hati untuk memeluk Islam.

Berikutan itu, katanya, beliau terus mendalami agama sebelum dilantik MAIK sebagai guru agama untuk mengajar solat dan mengaji al-Quran kepada penduduk lain di pos terbabit yang baru memeluk Islam.

"Bermakna, mereka sudah biasa untuk berpuasa dan mengerjakan solat selepas dilatih dari sejak bertahun lalu dan mereka juga menunaikan solat sunat Tarawih di masjid yang disediakan di pos berkenaan. 

"Lebih penting, kami memberi didikan agama kepada kanak-kanak dan remaja Orang Asli supaya mereka memahami amalan hidup dan menjauhi perkara yang dilarang agama," katanya ketika ditemui di Pos Tuel, hari ini. 

Angah berkata, selain dirinya, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih kerap menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan untuk penduduk kaum itu yang telah memeluk Islam untuk membentuk jati diri dalam kehidupan sehari-hari. 

Penghulu Pos Tuel, Halim Shariff pula mengakui sukar untuk melaksanakan puasa pada bulan Ramadan termasuk berpuasa selang sehari ketika baru memeluk Islam 20 tahun lepas tetapi kini sudah menjadi biasa.

Bagaimanapun, kata beliau, keadaan itu berubah pada tahun kedua selepas beliau memeluk Islam apabila ada kekuatan diri untuk menghabiskan puasa sebulan penuh bersama anak dan isteri. 

"Alhamdulillah, sekarang sudah biasa dengan amalan itu dan kami juga turut mengajak semua penduduk beragama Islam dari kaum itu untuk menunai solat sunat Tarawih di masjid," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel