Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

'Kira' tarikh tanam tembikai untuk bulan puasa


Tarikh kemaskini: 15/05/2019





Oleh Mohd Adli Shahar

PEKAN, 15 Mei (Bernama) -- Menyusuri laluan Kuantan-Pekan di sini, pasti akan disajikan dengan 'pemandangan' gerai menjual buah tembikai. 

Bagi masyarakat setempat, laluan itu adalah kawasan yang dituju jika mereka mahu mencari tembikai segar kerana ditanam di kawasan berhampiran dan dijual pada harga berpatutan. 

Menyedari permintaan tinggi pada musim puasa, petani dan peniaga tembikai Zaharah Fakar, 78, berkata kebanyakan petani 'mengira' tarikh sesuai untuk mula menanam supaya hasilnya boleh dituai pada bulan Ramadan. 

"Buah tembikai boleh mula dituai antara 65 hingga 75 hari ditanam...jadi sejak hujung bulan Februari lalu kami sudah sibuk di kebun dari menyemai benih dan menjaga pokok dari serangan musuh.

"Sejak 30 tahun lalu, memang saya mula menyemai beberapa bulan sebelum umat Islam berpuasa kerana tembikai antara buah pilihan untuk dijadikan pemanis mulut atau jus," katanya kepada Bernama semasa ditemui di gerainya di sini, hari ini. 

Zaharah berkata tembikai jualannya ditanam di kebun seluas kira-kira satu hektar diusahakan berhampiran rumahnya di Kampung Ubai di sini, dengan bantuan dua daripada lapan anaknya 

Selain tembikai merah, beliau turut menanam tembikai kuning, tembikai madu dan tembikai betik yang popular dalam kalangan masyarakat setempat kerana bentuknya yang panjang seakan-akan buah betik.  

"Tembikai yang paling mendapat permintaan ialah tembikai betik kerana rasanya kurang manis namun baunya wangi. Namun kali ini, malangnya tembikai betik masih belum matang. 

"Seterusnya ialah tembikai kuning kerana lebih rangup berbanding tembikai merah. Tembikai merah pula digemari untuk buat jus," katanya. 

Zaharah menambah buah di gerainya dijual pada harga tetap RM2 sekilogram namun, 'diskaun istimewa' diberikan kepada peraih atau mereka yang membeli dalam jumlah yang banyak. 

Sementara itu, seorang pelanggan Rozi Nor, 45, yang menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer dari Kuantan melahirkan rasa kecewa kerana tembikai betik yang dicarinya masih tidak ditemui walaupun telah berhenti di beberapa gerai. 

"Isi tembikai betik berwarna agak putih dan rasanya agak berlemak...ada masanya saya makan bersama pulut yang dicurah dengan santan yang dimasak dengan gula," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     

SPR terpaksa guna pakai persempadanan semula tahun lepas

 
     

Pemanis sokong saranan Anwar Ibrahim semua majlis anjuran kerajaan wajib guna Bahasa Melayu

 
     

Ibu negara Indonesia di Kalimantan: Sarawak, Sabah terima tempias positif

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel