Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pahang perlu cari sumber pengganti kepada mineral dan balak


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUANTAN, 14 Mei (Bernama) -- Pahang perlu menerokai sumber baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui, pelancongan kesihatan dan sukan kerana menyedari ia tidak boleh selamanya bergantung kepada mineral dan balak, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

"Slogan #majuterusPahang yang diperkenalkan sebaik sahaja saya mengambil alih pentadbiran negeri pada 15 Mei 2018 bertujuan membawa Pahang menjadi negeri yang mampu berdikari dengan sumber ekonomi yang mampan, pengurusan sumber dan pentadbiran yang efisien dalam suasana yang aman bagi menjamin kesejahteraan rakyat.   

"Saya mengakui bahawa kejayaan Pahang adalah apabila dapat meningkatan pendapatan negeri dalam tempoh empat bulan pertama 2019 iaitu kepada RM181.5 juta, berbanding RM140.2 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya," katanya kepada Bernama sempena setahun pentadbiran di sini, hari ini.

 Menyedari bukan mudah bergelar negeri pembangkang, Wan Rosdy mengakui beliau tekad untuk menjalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan demi kebajikan dan kebaikan rakyat. 

Berdasarkan pengalaman tiga sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sebelum ini, Wan Rosdy mengakui beliau menghargai sikap matang dan hormat-menghormati semua wakil rakyat negeri ini, walaupun komposisi wakil Barisan Nasional (BN) kini hanya melebihi lapan orang daripada pembangkang. 

Untuk rekod, wakil BN dalam Dewan DUN Pahang ialah 25 orang, diikuti sembilan wakil Pakatan Harapan dan lapan daripada PAS. 

"Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan pembangunan RM30,000 kepada wakil rakyat pembangkang yang akan diberikan secara 'lump sum' yang menunjukkan sikap bertimbang rasa dan kedududukan kewangan negeri berada dalam keadaan stabil," katanya. 

Wan Rosdy juga menyifatkan prestasi Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai 'baik, mengetahui tugasan mereka, dan memahami kehendak dan hala tuju negeri', yang turut menjadi faktor peningkatan pendapatan negeri.  

Bercakap tentang pencapaian kerajaan negeri dalam tempoh setahun, Wan Rosdy merujuk kepada penurunan kuasa pihak berkuasa negeri atau menteri besar kepada pentadbir tanah dan pendaftar, bagi mendapatkan kelulusan kebenaran pindah milik, gadaian dan pajakan tanah berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Pelaksanaan itu yang tertakluk kepada kategori Melayu kepada Melayu, bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu yang membolehkan kelulusan diperoleh dalam tempoh satu dua hari atau 10 hari, bergantung kepada kategori pindahan, berbanding tiga bulan sebelum ini.

"Keputusan ini dibuat demi mengurangkan karenah birokrasi, sambil menambahbaik sistem penyampaian kerajaan dan memudah cara serta memendekkan tempoh bagi urusan berkenaan," katanya. 

Wan Rosdy juga merujuk kepada aplikasi 'PahangGo' yang dibangunkan anak tempatan yang akan dilancarkan pada Julai, yang membolehkan rakyat membuat pembayaran bil utiliti, cukai taksiran atau bayaran levi atau fi kepada agensi kerajaan negeri tanpa perlu ke kaunter.

"Kita juga menubuhkan Pahang Coporation yang bakal menjadi agensi penyelaras bagi memperkemaskan operasi syarikat berkaitan kerajaan negeri, selain memastikan semua pelaburan yang hendak dilakukan telah melalui jawatankuasa risiko," katanya. 

Setahun menjadi negeri pembangkang, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui adalah lebih baik untuk negeri berdikari dalam usaha menjadi negeri maju. 

-- BERNAMA 

 

 


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel