Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MARDI diminta selesaikan masalah kilang memproses padi beras wangi di Jeram Pasu


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





PASIR PUTEH, 14 Mei (Bernama) -- Petani yang menanam padi beras wangi MRQ76 di Kelantan kini dalam dilema kerana satu-satunya kilang yang boleh memproses padi jenis itu di negeri ini tidak boleh  berfungsi kerana pihak pengurusan kilang itu tiada sijil kebenaran beroperasi.

Sehubungan itu kira-kira 200 petani  yang mengusahakan padi berkenaan berharap pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dapat mengambil langkah segera agar Kilang Padi Wangi Mardi di Jeram Pasu dapat beroperasi semula. 

Terdapat 300 hektar daripada  lebih 1,000 hektar tanah sawah di Kedai Penanti, Kolam Temusu  diusahakan dengan tanaman padi wangi tahun ini yang dijangka dapat menghasilkan kira-kira 300 metrik tan padi beras wangi.

Pengerusi Persatuan Penanam Padi Wangi Kelantan,  Zailan Awang, 56, berkata, jika Mardi tidak mengambil langkah segera  menukar pengurusan kilang berkenaan  yang bermasalah  dibimbangi akan menjejaskan  semangat petani untuk menanam padi wangi MRQ76 itu.

Zailan berkata padi musim ini akan dituai minggu depan, dan ekoran masalah yang berlaku  beliau terpaksa mencari pengilang lain dan  mendapat sebuah kilang padi  di luar Kelantan iaitu di utara  Semenanjung yang sanggup memproses padi di mana petani berkenaan akan mendapat RM1,860 bagi setiap tan padi.

Ditanya sama ada mereka serik dengan masalah yang dihadapi, Zailan berkata: “Kami tidak serik untuk menanam padi wangi MRQ76 kerana padi ini serasi dengan tanah di sini dan rentang penyakit. 

“Malah semangat kami terus meningkat untuk menjadikan padi wangi sebagai keluaran negeri Kelantan,” katanya selepas menunaikan solat hajat di kawasan sawah Kedai Menanti.

Mengenai sembahyang hajat itu  Zailan berkata, ia bertujuan untuk memohon agar  Allah s.w.t  melancarkan  perjalanan jauh  yang perlu ditempuhi untuk membawa padi ke kilang memproses di luar Kelantan.

Pengerusi Majlis Komuniti Kampung, Hashim Ismail, 55, yang juga Ketua Blok Kolam Temusu berkata mereka merupakan perintis  tanaman padi wangi untuk memartabatkan padi wangi negeri Kelantan.

Katanya, kumpulan petani di Kolam Tembusu dan Kampung Bukit Merbau bersedia menjadi peneraju pada pengeluaran beras wangi dan seterusnya mengurangkan import beras wangi negara yang kini mencecah RM2 bilion setahun.

“Kita mampu menghasilkan keperluan makanan negara dan akan meneruskan usaha walaupun tanpa subsidi… kami masyarakat yang ada harga diri dan bukan masyarakat subsidi,” tegasnya.

--BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Sultan Perak berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Gopeng

 
     

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

 
     

HOSHAS catat sejarah pembedahan katarak terbesar dalam dua hari

 
     

Terapi seni penjara beri kesan positif pada banduan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel