Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Empat anggota Geng Ah Chin ditahan, dadah lebih RM400,000 dirampas


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Seorang wanita antara empat anggota `Geng Ah Chin' yang ditahan di sekitar ibu negara disyaki aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah dalam operasi selama dua hari bermula Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata tiga lelaki tempatan dan wanita warga China itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah Sentul. 

Katanya, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM400,000 dan menyita kenderaan serta wang tunai berjumlah RM384,302.

“Kumpulan ini aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang dan mereka beroperasi di sekitar Sentul. Polis percaya saki baki kumpulan ini masih ada dan sedang diburu,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Memberikan butiran operasi pertama, beliau berkata seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di Jalan Persiaran Segambut Utara di sini kira-kira 9 malam Khamis lepas, kerana membawa dadah disyaki ketamin dalam keretanya.

“Selepas disoal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Ipoh iaitu lokasi penyimpanan bekalan dadah.

Polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya  pil yaba (20 biji), pil Erimin 5 (230 biji) dan ketamin di rumah kedai itu,”katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata suspek kedua iaitu lelaki berusia 39 tahun dan wanita warga China berusia 50 tahun ditahan di sebuah kondominium juga di Jalan Ipoh di sini kira-kira 1 pagi pada Jumaat. 

“Polis berjaya merampas dadah seperti ketamin (333.5 gram), pil ekstasi (68 biji) dan pil Erimin 5 (30 biji) serta sepucuk pistol jenis Glock bersama satu kelopak peluru.

“Polis percaya lelaki ini adalah ‘dalang’ dalam kegiatan pengedaran dadah kumpulan ini,” katanya menambah kedua-dua suspek itu adalah pasangan kekasih.

Mazlan berkata tangkapan ketiga pada Jumaat membabitkan lelaki berusia 53 tahun yang ditahan di sebuah rumah di Jalan Sungai Besi di sini kira-kira 4.45 pagi. 

“Hasil pemeriksaan polis menemui dadah disyaki syabu seberat 1,035 gram,” katanya menambah kesemua suspek direman sehingga 16 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

--  BERNAMA

   

 
 
     
   
 

UniSZA muncul universiti rujukan manuskrip digital pertama di Malaysia

 
     

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

 
     

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM - Abdul Karim

 
     

Tambak laut: Anwar akan bertemu Ketua Menteri untuk bincang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel