Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Digi jangka memperuntukkan 11-12 peratus bagi perbelanjaan modal tahun ini


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Digi.com Bhd jangka untuk memperuntukkan kira-kira 11 hingga 12 peratus perolehan perkhidmatan untuk perbelanjaan modal (capex) tahun ini, dengan sebahagian besar daripadanya akan digunakan untuk peningkatan rangkaian dan pendigitalan perkhidmatan.

Ketua Pegawai Kewangan Inger Gloersen Folkeson berkata berdasarkan nisbah perkhidmatan kepada perolehan, syarikat jangka untuk membelanjakan jumlah capex yang sama seperti pada tahun lepas.

“Sebahagian besar capex itu akan digunakan untuk peningkatan rangkaian dan pendigitalan perkhidmatan,”katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, hari ini.

Berhubung unjuran bagi  FY2019, syarikat menurutnya akan mengekalkan perolehan perkhidmatannya seperti yang diraih pada FY18 iaitu sebanyak RM5.92 bilion dan pertumbuhan pendapatan rendah satu digit sebelum faedah dan cukai.

Bagi suku pertama,  Digi, katanya telah melabur RM186 juta bagi capex, untuk menaik taraf kapasiti rangkaian teknologi dan maklumat, perluasan rangkaian gentian dan pelaksanaan fungsi rangkaian maya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi Kesavan Sivabalan berkata penembusan rangkaian 4G Digi telah mencapai 89 peratus.

Syarikat akan terus meningkatkan kadar penembusan dan mengekalkan kualitinya.

“Kumpulan juga sedang mencuba beberapa perkara baharu menerusi infrastruktur  sedia ada. Kami mempunyai rangkaian gentian kami sendiri iaitu kira-kira  8,400 km, yang sedang di peringkat rintis dan akan memanfaatkannya dengan beberapa rakan kongsi untuk melihat bagaimana pencapaiannya,” katanya.

Mengenai rangkaian 5G, Kesavan berkata syarikat tidak memperuntukkan sebarang angka pelaburan buat masa ini.

Katanya ia akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk merealisasikan sepenuhnya teknologi itu dan Digi akan membuat pelaburan sepatutnya bila tiba masanya.

Rangkaian 5G, menurutnya tidak dilaksanakan secara umum tetapi berdasarkan kes kegunaan dan kawasan spesifik.

Ketua Pegawai Pemasaran Digi Loh Keh Jiat berkata syarikat akan tumpu pada dua bidang pertumbuhan - segmen peribadi dan data - dengan menawarkan lebih banyak perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pelanggan.

 “Melihat kepada pangkalan pelanggan yang besar yang kami ada dan bakal melaksanakan segmen mikro di dalamnya, kami dapat lihat beberapa segmen berbeza dan keperluan berbeza, kami percaya masih terdapat banyak peluang di situ,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

UniSZA muncul universiti rujukan manuskrip digital pertama di Malaysia

 
     

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

 
     

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM - Abdul Karim

 
     

Tambak laut: Anwar akan bertemu Ketua Menteri untuk bincang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel