Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

MPHTJ turun, lupus 8,058 iklan haram tahun lepas


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah menurun dan melupuskan sebanyak 8,058 iklan haram yang dipasang dalam kawasan pentadbirannya tahun lepas.

Yang Dipertua MPHTJ Mohd Rafee Ibrahim berkata untuk tahun ini, sebanyak 3,527 iklan haram telah diturunkan untuk dilupuskan dalam tempoh Januari lepas hingga semalam.

Katanya iklan haram tersebut sering dipasang di kawasan tumpuan awam atau kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti di taman perumahan.

"Iklan haram itu melibatkan jenis gegantung, kain rentang dan poster yang mempromosikan pinjaman wang, kelas tuisyen dan makanan.

"Kita di pihak MPHTJ memandang serius aktiviti pemasangan iklan haram ini kerana ia memberi pelbagai impak negatif seperti mencacatkan pemandangan selain boleh memperdaya rakyat," katanya pada sidang media Taklimat dan Pelupusan Iklan Haram di sini, hari ini.

Mohd Rafee berkata pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih ketat serta menyeluruh akan dilakukan tahun ini bagi mengekang aktiviti pemasangan iklan haram itu yang boleh diambil tindakan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan MPHTJ 2010 dan UUK Vandalisme MPHTJ 2010.

Beliau berkata aktiviti pemasangan iklan haram dilakukan pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa namun ia akan diturunkan dalam tempoh yang singkat menerusi pemantauan berkala yang dijalankan anggota penguatkuasa MPHTJ.

Katanya pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia bagi menamatkan nombor telefon yang dipamerkan di iklan haram terlibat dalam usaha menumpaskan sindiket penipuan khususnya melibatkan pinjaman tanpa lesen atau 'ah long'.

Beliau berkata selain itu, MPHTJ juga akan melaksanakan polisi atau syarat baharu dalam tawaran tender yang dibuka kepada kontraktor bagi mendapatkan bantuan mereka membanteras pemasangan iklan terlibat.

"Sebelum ini, kita memang bekerjasama dengan kontraktor di bawah MPHTJ yang berada di lapangan untuk membantu menurunkan iklan haram namun kita tidak menjadikannya sebagai syarat dalam sebut harga atau tender," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel