jkNU5cg95-k PKS digesa sertai program NEM - Yeo
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PKS digesa sertai program NEM - Yeo


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mengambil bahagian dalam program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang baru dipertingkatkan bakal menikmati elaun cukai lebih baik, selain dapat menguruskan kos elektrik dengan lebih berkesan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata akses mudah kepada pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) akan menggalakkan PKS untuk terlibat dalam skim NEM dan mencari jalan inovatif untuk memanfaatkan sumber tenaga diperbaharui.

"PKS yang mempunyai (kilang) dengan struktur bumbung yang betul boleh mendapat elaun cukai melalui pemasangan sistem fotovoltaik (PV) solar dan boleh menjual apa-apa sahaja tenaga lebihan yang dihasilkan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) secara asas ‘satu-atas-satu’. 

"Saya harap elaun cukai yang relevan dan GTFS akan memudahkan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan yang lebih tinggi dari segi penghasilan bumbung solar (kuasa) dalam kalangan pemain industri dan sektor komersial,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laman web baharu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, yang mempunyai tenaga mikrosit yang diperbaharui dan kalkulator NEM di sini, hari ini.

Program NEM adalah sistem PV solar yang merupakan inisiatif MESTECC untuk menggalakkan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia.

Di bawah program ini, tenaga yang dihasilkan daripada pemasangan sistem PV solar akan digunakan terlebih dahulu dan apa-apa tenaga berlebihan yang dihasilkan boleh dieksport ke TNB menerusi asas ‘satu-atas-satu’.

Skim ini sesuai digunakan untuk semua tujuan seperti sektor domestik, komersial, industri dan pertanian selagi mereka adalah pelanggan TNB.

Peruntukan keseluruhan kuota untuk NEM adalah 500 megawatts (MW) sehingga tahun 2020 -- 50MW untuk segmen domestik, dan 450MW untuk sektor komersial, industri dan pertanian.

Yeo berkata sejak pelancaran NEM pada Januari 2019,kadar pertumbuhan penggunaan skim itu amat menggalakkan.

Setakat 10 Mei, sejumlah 16.6MW telah diluluskan, berbanding dengan kapasiti keseluruhan yang diluluskan sebanyak 18.24MW pada 2018.

Beliau berkata kuota NEM sebanyak 500MW dijangka mewujudkan pekerjaan untuk 15,000 orang dan modal pelaburan sebanyak RM2.12 bilion untuk sistem PV solar.

Mengulas berkenaan laman SEDA yang baru dirombak, Yeo berkata laman web itu direka bagi memberikan pengalaman lebih baik kepada orang ramai dan menyedia akses maklumat mengenai skim NEM dan program tenaga boleh diperbaharui.

SEDA Malaysia juga menwujudkan dua direktori PV solar, membolehkan orang ramai untuk melayari perkhidmatan yang mereka perlukan.

Setakat ini, direktori itu menyediakan 110 senarai penyedia perkhidmatan PV yang berdaftar dan 27 pelabur PV solar berdaftar.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

UniSZA muncul universiti rujukan manuskrip digital pertama di Malaysia

 
     

Masalah kemiskinan di Kelantan masih serius

 
     

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM - Abdul Karim

 
     

Tambak laut: Anwar akan bertemu Ketua Menteri untuk bincang

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel