Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

AmBank, MITI sedang berbincang bantu PKS menerusi BizRACE


Tarikh kemaskini: 14/05/2019




KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- AmBank (M) Bhd sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menyediakan bantuan kewangan dan teknikal kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi AmBank BizRACE.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Ambank Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata perbincangan yang masih di peringkat awal itu turut melibatkan beberapa syarikat dari sektor teknologi, infrastruktur dan telekomunikasi.

“AmBank BizRACE ialah cabaran keusahawanan yang bertujuan menawarkan PKS dengan akses kepada sesi perkongsian pengetahuan dan latihan pembangunan yang merangkumi pembangunan kepemimpinan, penambahbaikan dalam model perniagaan, selain sistem dan struktur  serta transformasi budaya.

“Kami berharap dapat memuktamadkan perbincangan tersebut pada tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Siri Melangkaui Pembiayaan Ambank BizCONFERENCE bertajuk ‘Pelaksanaan Objek Rangkaian Internet (IOT)’  yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata menerusi cadangan kerjasama itu, MITI akan mengenal pasti PKS yang berpotensi untuk meningkatkan skala menerusi bidang import dan eksport manakala Ambank menyediakan teknologi dan kesalinghubungan, seperti bantuan IOT.

Siri Melangkaui Pembiayaan Ambank BizCONFERENCE itu bertujuan menawarkan pendedahan kepada PKS mengenai topik penting berkaitan IOT selain mengetengahkan keperluan PKS.

Sulaiman berkata tiga lagi sesi akan diadakan membabitkan isu-isu utama seperti perniagaan hijau, perniagaan halal selain penjenamaan dan pemasaran.

“Siri itu juga akan bertindak sebagai platform perangkaian kepada komuniti PKS yang menghimpunkan  pemilik perniagaan, pakar berkaitan subjek tertentu serta pemimpin industri,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Sulaiman berkata bank itu berhasrat memperkukuh kedudukannya sambil berusaha membantu pertumbuhan dan kejayaan PKS dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan penyelesaian berkaitan untuk menghadapi cabaran di masa depan. 

“Adalah jelas bagi kami di Ambank, jika kami mahu memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia, kami perlu melabur dalam PKS dan mesti melangkaui daripada hanya menyediakan mereka dengan bantuan kewangan.

"Ambank berhasrat menjalankan tanggung jawab kami dengan menubuhkan barisan panel pakar IOT untuk membantu PKS menumpukan kepada apa yang mereka perlukan untuk mempercepat penggunaan IOT dari segi pelaksanaan," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel