Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Warga emas, isteri hadapi kesusahan selepas alami masalah kesihatan


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





BATU PAHAT, 14 Mei (Bernama) -- ‘Bagaikan jatuh ditimpa tangga’, itu perumpamaan yang dapat digambarkan terhadap warga emas, Moin Jono, 73, dan isterinya, Fatimah Bujal, 56, yang menghadapi kesusahan selepas kedua-dua mereka mengalami masalah kesihatan.

Fatimah berkata Moin yang merupakan seorang tukang rumah sebelum ini, terlantar sakit sejak tiga tahun lepas manakala dia pula tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat akibat kemalangan di tempat kerja, dua tahun lepas.

Menurut Fatimah, Moin pada mulanya dikatakan mengalami penyakit Parkinson kerana keadaan dirinya yang menggeletar seluruh badan sebelum tidak berupaya menggerakkan seluruh anggota badan.

“Buat masa ini, suami (Moin) hanya menghabiskan masa dengan berbaring sahaja dan perlu dibantu sekiranya mahu menggerakkan badan termasuk ketika makan, menukar pakaian serta membersihkan diri.

“Keadaannya semakin teruk apabila dia sudah tidak lagi mampu bercakap dan berbual-bual sejak tahun lepas,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Jalan Mohd Salleh, hari ini.

Fatimah berkata dia sendiri terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu pembersihan kerana mahu menjaga suaminya selain kesihatan dirinya juga tidak mengizinkan apabila bahagian anggota badan sebelah kanan bermasalah setelah kemalangan dua tahun lepas tersebut.

Katanya, mereka kini terpaksa bergantung harap kepada anak, Aiman Nurhakim, 18, yang bekerja sambilan dengan pendapatan hanya ‘cukup makan’ mereka sekeluarga selain terpaksa membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan.

“Kami sekeluarga memang tidak pernah menerima sebarang bantuan dan ada kalanya terpaksa meminta simpati daripada anggota keluarga dan rakan,” katanya.

Sementara itu, beban ditanggung keluarga berkenaan mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati (PKAAJ) Batu Pahat yang diketuai Pengerusi Khas Biro Kebajikannya, Mohd Hamidi Mad Tap.

Mohd Hamidi berkata pihaknya menghulurkan bantuan barangan keperluan harian dan wang tunai untuk kegunaan keluarga berkenaan menyambut Ramadan, selain akan mengadakan lawatan susulan bagi menyerahkan bantuan Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa berkata, pihaknya akan melakukan siasatan bagi kes Fatimah sama ada wanita berkenaan layak atau sebaliknya untuk mendapatkan pampasan serta faedah daripada Perkeso memandangkan dia mengalami kemalangan di tempat kerjanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel