Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lelaki Indonesia sembunyi dalam tayar pesawat ditahan


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia kerana menceroboh kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bersembunyi dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo.

Sumber berkata kejadian itu disedari seorang juruteknik yang sedang membuat penyelenggaraan kapal terbang kargo berkenaan kira-kira pukul 10.00 pagi ini.

"Juruteknik itu ternampak lelaki Indonesia berusia 39 tahun berkenaan  keluar dari tempat persembunyian iaitu tayar pesawat berkenaan sebelum juruteknik itu memaklumkan pasukan kawalan keselamatan untuk tindakan lanjut," katanya di sini malam ini.

Katanya lelaki yang bekerja di tempat memproses ayam di negeri ini sejak sembilan bulan lepas berjaya ditahan pasukan kawalan keselamatan sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan lelaki itu dikatakan bertindak sedemikian kerana mahu pulang ke Medan, Indonesia namun tidak mempunyai wang yang cukup berikutan majikannya tidak membayar gajinya sejak dua bulan lepas.

Sumber itu berkata lelaki itu berjaya masuk ke dalam kapal terbang berkenaan selepas menceroboh masuk melalui pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut dan berjalan menuju ke pesawat yang diparkir pukul 12 tengah malam tadi.

Suspek seterusnya bersembunyi di bahagian tayar pesawat kargo berkenaan sejak awal pagi sebelum dia keluar dari tempat persembunyian berkenaan selepas terdengar suara juruteknik tersebut.

Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain  ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel