Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

38 peniaga bazar dikompaun gagal patuhi syarat keselamatan makanan


Tarikh kemaskini: 14/05/2019





KUALA NERUS, 13 Mei (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan 38 kompaun berjumlah hampir RM4,000 terhadap peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tujuh hari bermula 6 Mei lepas.

Pengarahnya Dr Mohd Jusoh berkata antara kesalahan dikesan ialah pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan pelalian antitifoid,  tidak memakai apron dan memakai cincin, gelang atau jam semasa mengendalikan makanan.

Kesalahan lain ialah tidak menutup makanan serta tidak menghadiri latihan pengendalian makanan yang dikelolakan oleh JKNT sedangkan ia adalah peraturan atau syarat wajib yang perlu dipenuhi bagi membolehkan mereka berniaga di bazar Ramadan.

"Kuala Terengganu mencatatkan bilangan peniaga tertinggi dikenakan kompaun iaitu 21 notis diikuti Setiu (sembilan notis), Dungun (tiga notis), Kemaman (dua notis), Hulu Terengganu (dua notis) dan Besut (satu notis).

Kami harap selepas ini para peniaga akan lebih peka dan mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya makanan yang dijual terjamin kebersihan serta keselamatannya," katanya kepada pemberita selepas Kempen Keselamatan Makanan Serta Nafas Baharu Bermula Ramadan Peringkat Daerah Kuala Nerus, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Mohd berkata setakat ini JKNT  telah menjalankan pemeriksaan terhadap 1,667 daripada keseluruhan 4,806 gerai bazar Ramadan di seluruh negeri dan mengambil 84 sampel makanan untuk diuji keselamatannya di makmal.

Beliau berkata daripada pemeriksaan itu, 93 peratus gerai dikategori sebagai sangat bersih (A) manakala selebihnya dalam kategori bersih (B).

"Setakat ini 34.7 peratus gerai telah diperiksa dan kami jangka akan selesaikan pemantauan yang selebihnya minggu depan bagi memastikan makanan yang dijual benar-benar selamat untuk pengguna," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan aduan secara rasmi kepada pejabat kesihatan di kawasan masing-masing sekiranya terdapat kejadian seperti keracunan makanan atau terbeli makanan basi di bazar Ramadan.

Ia susulan terdapat penularan berkaitan masalah itu yang ditularkan di laman sosial Facebook sehingga meresahkan pengguna lain.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel