Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

25 guru terima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2019


Tarikh kemaskini: 13/05/2019





GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Seramai 25 orang guru dari seluruh negara dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2019 hari ini sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia Melati Abdul Hai berkata 25 orang guru itu dipilih kerana telah menjalankan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki dalam mendidik pelajar-pelajar mereka.

Beliau berkata anugerah yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu menerima lebih 7,500 pencalonan daripada orang ramai bermula 1 hingga 31 Mac lepas.

"Pertambahan jumlah pencalonan dari 1,000 orang pada tahun pertama anugerah ini diperkenalkan pada tahun 2017 kepada lebih 7,500 pencalonan tahun ini membuktikan Malaysia mempunyai ramai guru luar biasa.

"Mereka sanggup berkorban tanpa mengharapkan balasan atau 'go the extra mile' dan lebih ramai rakyat Malaysia kini merasakan pentingnya penghargaan kepada golongan pendidik seperti ini di negara kita," katanya berucap pada majlis penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald's oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin, di sini hari ini.

Melati berkata pihaknya amat gembira dengan sambutan yang cukup menggalakkan terhadap pelaksanaan anugerah itu dan pengiktirafan itu adalah wajar kepada golongan pendidik atas komitmen mereka yang amat memberi inspirasi kepada masyarakat.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk membaca kisah 25 penerima anugerah itu di bit.ly/mcd-agi2019winners kerana kisah-kisah guru itu mampu menyuntik semangat kepada guru-guru lain malah membantu meningkatkan lagi sistem pendidikan negara.

"Apabila kami membaca kisah-kisah inspirasi yang dihantar oleh rakyat Malaysia, ia membuatkan kami ingin melakukan lebih banyak lagi untuk para guru," katanya.

Sementara itu, Melati berkata McDonald's Malaysia akan memberikan baucar hidangan percuma bernilai RM4.5 juta kepada lebih 42,000 orang guru di Malaysia sebagai menghargai jasa guru-guru dalam mendidik anak bangsa.

Beliau berkata guru-guru boleh menggunakan baucar ini untuk menebus sama ada hidangan McChicken atau Filet-O-Fish di mana-mana restoran McDonald's di seluruh negara mulai 16 hingga 20 Mei ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

KYP Advanced Skills dialukan dalam penubuhan De' Royal Azizah Culinary School

 
     

Pindaan kaedah ujian memandu untuk laksanakan e-testing - Loke

 
     

Kejayaan sesuatu penyampaian diukur kepuasan pelanggan - Aminuddin

 
     

Pasukan bola sepak Sabah, peserta Unduk Ngadau sertai perarakan Hari Kebangsaan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel