Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kedah sedia bincang isu KXP dengan Pulau Pinang, Perak - Mukhriz


Tarikh kemaskini: 13/05/2019





JERLUN, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan pertemuan tiga hala bersama kerajaan negeri Pulau Pinang dan Perak bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit, susulan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pertemuan itu juga akan menjadi platform bagi Kedah menjelaskan kepada kedua-dua negeri berkenaan, terutama Pulau Pinang bahawa pembinaan lapangan terbang itu tidak akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.

“Ya...kami akan menganjurkan satu perjumpaan antara ketiga-tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang untuk berbincang pelbagai perkara termasuk mengenai cadangan pembinaan KXP.

“Kita nak meyakinkan Pulau Pinang bahawa projek KXP tidak berhajat untuk menjejaskan kepentingan ekonomi Pulau Pinang, malah boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di seluruh kawasan pembangunan utama di wilayah utara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan Parlimen Jerlun di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Pulau Pinang yang mahu pertemuan tiga hala antara Kedah, Pulau Pinang dan Kementerian Pengangkutan diadakan bagi membincangkan mengenai pembinaan KXP.

Sebelum ini, Chow menjangkakan KXP akan menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan akan mengurangkan pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

Pada Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengumumkan, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion, termasuk pembinaan KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi berbeza daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang berpendapat pembinaan KXP di lokasi kira-kira hanya 60 kilometer dari Pulau Pinang akan memberi impak negatif kepada LTAPP dan negeri tersebut.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel