Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penyakit beguk di Terengganu meningkat kepada 182 kes


Tarikh kemaskini: 13/05/2019





KUALA TERENGGANU, 13 Mei (Bernama) -- Penularan penyakit mumps atau beguk di Terengganu terus mencatat peningkatan membimbangkan iaitu 182 kes setakat semalam berbanding hanya 114 kes pada awal bulan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata peningkatan 68 kes dalam tempoh dua minggu membabitkan sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Terengganu.

"Setiap hari, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu akan datang membuat pemeriksaan di sekolah itu untuk mencegah penularan wabak.

"Langkah terbaik ketika ini ialah mengasingkan pelajar yang dijangkiti penyakit itu di dorm yang berlainan agar tidak berlaku jangkitan kepada pelajar lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sehingga kini, seramai 85 pelajar sekolah tersebut telah dijangkiti penyakit beguk yang mana sebahagiannya sudah pulih.

Menurut Dr Mohd, pihaknya masih membenarkan pelajar yang dijangkiti untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah mengikut cuti sakit yang diberi oleh doktor berikutan sekolah tidak mempunyai fasiliti yang cukup untuk mengasingkan semua pelajar yang dijangkiti.

"Bagaimanapun kita hanya membenarkan pelajar ini pulang bersama penjaga dan tidak membenarkan pelajar ini pulang dengan pengangkutan awam bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan orang awam," katanya.

Dr Mohd turut menegaskan pelajar yang menjalani kuarantin di rumah perlu dipantau rapi oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing supaya tidak keluar ke tempat awam seperti bazar Ramadan atau pusat membeli-belah dalam tempoh kuarantin yang telah ditetapkan oleh doktor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussein berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan wabak itu segera berakhir.

Selain melakukan aktiviti gotong-royong bagi memastikan kebersihan di sekitar sekolah, guru dan murid juga dinasihat memakai penutup mulut dan hidung, menjalani saringan kesihatan setiap hari serta mengamalkan etika batuk yang disarankan oleh pihak kesihatan.

Pihak sekolah juga disaran untuk mengelakkan daripada melakukan aktiviti berkumpulan di tempat tertutup sekiranya terdapat kes wabak penyakit berjangkit di sekolah bagi mengelakkan penularan kes, katanya.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel