Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

CUEPACS tetap berharap kerajaan beri bonus sebelum hari raya


Tarikh kemaskini: 12/05/2019





PASIR MAS, 12 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya pemberian bonus raya kepada penjawat awam dan pesara kali ini diberikan sebelum sambutan Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menghantar surat kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan agar pemberian bantuan khas itu menjadi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya memohon agar setiap penjawat awam diberikan bonus RM1,000, manakala bagi pesara RM500, dan menurutnya bantuan khas itu dijangka membabitkan jumlah lebih RM1bilion.

"Sebelum ini hanya mereka yang Gred 41 ke bawah sahaja yang layak dan kali ini kita tidak mahu ada sekatan, semua Gred 54 ke bawah (seharusnya) layak menerimanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Imigresen Kelantan dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Seluruh Malaysia (KPISM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah presiden KPISM, Mohd Fauzi Jamaluddin serta Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.

Dalam perkembangan lain Azih berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau mendapati fasiliti di pintu masuk utama negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang sudah agak ketinggalan dan perlu pembaharuan.

"Di sini (ICQS) ada 13 agensi dengan jumlah keanggotaan adalah 213 orang dan kita dapati dengan keadaan sekarang di mana jumlah trafik yang keluar masuk semakin banyak memberikan ketidakselesaan kepada anggota yang bertugas di sini.

"Dahulunya keadaan begini mungkin sesuai, namun dengan peredaran masa kita rasakan ia perlu penambahbaikan agar anggota yang bertugas di situ lebih selesa. Di sini kita mahu supaya kerajaan melihat semula soal kebajikan dan keperluan anggota supaya dapat menjalankan tugasan dengan lebih kondusif," katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu melihat anggota yang bertugas ini sebagai "orang penting" kepada negara kerana anggota beruniform bukan sahaja menjaga keselamatan kita tetapi bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat.

"Dalam soal ini kita memohon agar gaji kakitangan beruniform perlu lebih tinggi daripada gaji kumpulan yang lain. Kita tahu wujud kekangan di segi kewangan kepada kerajaan namun kita tetap memohon agar ia dipertimbangkan," katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel