Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua penuntut yatim piatu terima biasiswa wakaf UniSZA


Tarikh kemaskini: 12/05/2019





KUALA NERUS, 12 Mei (Bernama) -- Hanya lafaz kesyukuran yang dapat dipanjatkan oleh Nursyafanis Mohd Nahar, 20, dan Siti Nor Hasma Fauzi, 21, apabila terpilih sebagai penerima biasiswa wakaf Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kedua-dua penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial, Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA itu merupakan anak yatim piatu yang telah kehilangan tempat bergantung.

Bagi Nursyafanis yang baru sahaja kehilangan ibu bapa dan adik bongsunya sekali gus dalam tragedi kebakaran rumahnya di Langkawi bulan lepas, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain terima kasih tidak terhingga kepada pihak universiti yang memilihnya daripada ribuan pelajar yang ada.

Dia berkata biasiswa tersebut umpama talian hayat untuknya meneruskan tempoh empat tahun pengajian di UniSZA dengan selesa dan baik tanpa perlu memikirkan sumber kewangan.

"Arwah bapa, Mohd Nahar Shuhaimi bekerja sebagai nelayan dan perbelanjaan sepanjang semester pertama ditanggung sepenuhnya oleh keluarga kerana dia tidak mahu berhutang dengan mana-mana agensi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Selepas ketiadaan kedua ibu bapa, saya agak risau juga tentang perbelanjaan pelajaran apatah lagi sebagai anak sulung saya perlu memikirkan nasib tiga lagi adik di kampung," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Biasiswa Wakaf UniSZA di Bangunan Canselori di sini hari ini.

Biasiswa itu disampaikan Naib Canselor UniSZA Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Dana Wakaf UniSZA, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh.

Nusyafinas berkata elaun bulanan RM600 yang diterima akan dikirimkan sedikit ke kampung untuk perbelanjaan adik-adiknya yang masih bersekolah sekali gus meringankan beban datuk dan nenek yang menjaga mereka.

Bagi Siti Nor Hasma yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, biasiswa itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh abangnya, Mohd Saiful Arif, 30, yang selama ini bertanggungjawab membiayai pelajarannya serta dua adik-beradik yang lain.

Dia berkata pendapatan abangnya sebagai pembantu kepada pegawai di Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) tidak besar dan terpaksa pula membayar banyak perbelanjaan lain seperti bil-bil dan sewa rumah yang agak mahal di bandar.

"Dengan adanya biasiswa ini,  abang tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan untuk saya dan fokus kepada dua adik yang masih bersekolah di Tingkatan Lima dan Dua serta dirinya yang masih belum berumah tangga," katanya yang telah kehilangan ibu bapa lima tahun lalu.

Sementara itu, Hassan Basri berkata seramai enam penuntut telah dianugerahkan biasiswa penuh wakaf yang bernilai RM24,000 setiap seorang sejak penubuhannya pada 2016.

Menurut beliau, tajaan itu diberi kepada pelajar di peringkat pra siswazah yang kurang berkemampuan serta menepati beberapa syarat lain yang ditetapkan termasuk kecemerlangan akademik iaitu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.0.

"Biasiswa yang diberikan ini daripada sumber keuntungan jumlah prinsipal yang dilaburkan dalam dana wakaf.

"Kita ada empat kategori biasiswa iaitu biasiswa penuh, yuran pengajian dan yuran asrama sahaja, yuran pengajian sahaja dan elaun sara hidup bulanan sahaja," katanya.

UniSZA juga, katanya, mendapat sumber wakaf sebanyak RM7,000 sebulan daripada sumbangan kakitangannya yang membuat pemotongan gaji sukarela setiap bulan.

 -- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Projek pembinaan WCE mampu lonjakkan pembangunan ekonomi Selangor

 
     

Lelaki warga New Zealand dijumpai mati di jeti marina Labuan

 
     

22 buah sekolah di Parlimen Bagan dibaik pulih dengan peruntukan dianggar RM10 juta

 
     

Pentadbiran kerajaan Selangor diwajib isytihar harta - MB

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel