Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Langkah mantapkan ekonomi masyarakat desa antara dibincangkan dengan PM


Tarikh kemaskini: 12/05/2019





KUALA TERENGGANU, 12 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata agenda pengukuhan ekonomi masyarakat desa adalah antara perkara yang dibincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pertemuan di Putrajaya, Jumaat lepas.

Menyifatkan pertemuan selama satu jam tersebut adalah positif, Ahmad Samsuri berkata beliau mendapatkan pandangan Dr Mahathir mengenai langkah memperkukuhkan ekonomi masyarakat terutama yang tinggal di desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan kerajaan negeri dan kerajaan pusat. 

“Dengan mengambil kira kedudukan Terengganu yang menerima wang royalti petroleum sejak 1974, tetapi tidak banyak perubahan daripada segi pergerakan terhadap struktur masyarakat (terutama) daripada segi data kemiskinan, dan sebagainya. Yang mana ia tidak begitu pantas berbanding dengan apa yang sepatutnya, setelah Terengganu menerima wang tunai petroleum sejak sekian lama.

“Jadi, ini antara perkara yang saya bincangkan dengan perdana menteri untuk mendapatkan pandangan beliau yang berpengalaman luas dalam proses menaik taraf kehidupan masyarakat. Pandangan itu akan kerajaan (negeri) cuba perhalusi dan tengoklah apa yang boleh dilaksanakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu (RSNT) 2050 (Kajian Semula), di Wisma Darul Iman di sini.

Terdahulu, melalui laman Facebooknya Ahmad Samsuri berkata antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah hala tuju pelaburan pihak luar negara ke Terengganu, Rancangan Malaysia Ke-11, wang tunai royalti petroleum dan baki pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuhraya Pantai Timur 2.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata selain maklum balas rakyat, Program Publisiti dan Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf (RSNT) 2050 (Kajian Semula) akan turut melibatkan pihak berkepentingan seperti pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Selain itu dasar-dasar dan falsafah kerajaan negeri melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) akan juga diambil kira dalam memastikan rancangan struktur bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” katanya. 

Laporan pemeriksaan Draf RSNT2050 (Kajian Semula) itu dipamerkan bermula 1 Mei lepas hingga 2 Jun ini untuk semakan dan maklum balas semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sebarang pandangan boleh diajukan kepada pihak PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) Negeri Terengganu dengan menyerahkan sendiri borang pandangan yang disediakan atau melalui pos. 

Kajian RSNT 2050 (Kajian Semula) tersebut menggariskan pelbagai matlamat untuk pembangunan Terengganu antaranya memastikan perancangan yang lebih seimbang antara wilayah-wilayah di negeri ini.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel