Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Lima beranak miskin gembira dapat rumah baharu menjelang Aidilfitri


Tarikh kemaskini: 12/05/2019





GUA MUSANG, 12 Mei (Bernama) -- Tidak sampai seminggu selepas media mendedahkan kehidupan lima beranak miskin yang tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri di sini, akhirnya impian mereka untuk menduduki rumah baharu tercapai selepas Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) menyumbangkan sebuah rumah. 

Mereka mula berpindah ke rumah baharu yang terletak di Kampung Tanah Puteh di sini hari ini, sebaik menerima kunci rumah daripada rombongan MAIK ketika melawat bangsal usang keluarga terbabit pagi semalam. 

Haida Abdullah, 32, menyifatkan bantuan rumah baharu itu merupakan rahmat Ramadan dan sekali gus dapatlah keluarganya menyambut Aidilfitri nanti dalam keadaan selesa selepas kisah kemiskinan hidupnya disiarkan dan mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk MAIK. 

"Sungguh terkejut bagi kami sekeluarga hanya tak sampai seminggu kisah hidup keluargaya tinggal di bangsal usang akhirnya kami menerima kunci rumah MAIK untuk perpindahan segera," katanya ketika ditemui di rumah baharunya hari ini.

Haida berkata, keluarganya tidak pernah bermimpi untuk tinggal di rumah baharu sumbangan MAIK itu dalam masa yang singkat dan mungkin rumah itu sudah lama siap dibina selepas diagihkan kepada mangsa banjir besar Disember 2014.

Beliau mengakui keluarganya terpaksa tinggal di .bangsal usang sejak setahun lalu kerana tidak mampu membayar rumah sewa berikutan suaminya, Auseng Ngoh, 35, yang mengambil upah menoreh getah hanya menperoleh pendapatan sekitar RM500 sebulan. 

Katanya, perbelanjaannya juga terpaksa dijimatkan bagi persekolahan tiga anaknya berumur tujuh hingga 12 tahun, itu pun kadangkala tidak dapat ke sekolah kerana habis wang belanja. 

"Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak termasuk orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO), guru dan kakitangan kerajaan yang menghulurkan pelbagai sumbangan bagi meringankan beban kami.

"Lebih bernilai lagi bantuan rumah oleh MAIK ini kerana dapat memberi kehidupan kami lebih selesa sampai bila-bila," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Johor umum bantuan khas kewangan sebulan gaji buat penjawat awam negeri

 
     

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas - ADUN Kemayan

 
     

UMT anjur majlis khas untuk graduan kehilangan ibu pada hari konvokesyen

 
     

Ahmad Zahid arah keluar RM17,953,185.21 bina bangunan Yayasan Akalbudi - saksi

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel