WMqWNvAXvZk Polis gagalkan cubaan seludup rokok putih bernilai RM1.9 juta
Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Polis gagalkan cubaan seludup rokok putih bernilai RM1.9 juta


Tarikh kemaskini: 11/05/2019





MUAR, 11 Mei (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak sah (tidak bercukai) melibatkan rampasan bernilai anggaran RM1.9 juta dalam satu serbuan di Batu 3, Bakri, di sini, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata pada serbuan kira-kira 4 pagi itu, sepasukan polis telah menahan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan di kawasan lampu isyarat Jalan Bakri selepas mengekori kenderaan terbabit sejauh 30 kilometer dari Parit Sulong, Batu Pahat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan kira-kira 220 bungkusan kotak berisi 110,000 kotak rokok putih jenama VSON-G dan VSON-R di dalam lori muatan lima tan berkenaan yang dipercayai dibawa dari negara jiran menggunakan jalan darat.

"Operasi yang disertai Pasukan Polis Marin Bukit Aman dan Unit Gempur Marin (UNGERIN) PPM W1 Port Klang itu telah mengekori lori berkenaan yang turut diiringi oleh dua buah kenderaan lain bagaimanapun ketika di persimpangan lampu isyarat terbabit kenderaan itu berjaya meloloskan diri.

"Pemandu berumur 42 tahun itu telah ditahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut serta membawa barang yang dilarang dan lori yang dipandunya turut dirampas," katanya kepada pemberita pada sidang akbar di Jeti Pangkalan PPM Wilayah 2 Muar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Operasi dan Risikan Marin Bukit Aman, Superintendan Rusley Chi Ari.

Khiu berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket ini berbeza apabila rokok seludup dibawa masuk dari negara jiran menerusi jalan darat berbanding penyeludupan sebelum ini yang biasanya menggunakan jalan laut.

Katanya, sindiket tersebut juga dipercayai mempunyai rangkaian dengan rampasan yang dibuat di sekitar Johor Bahru baru-baru ini berikutan menggunakan taktik penyeludupan sama.

"Namun perkara ini masih dalam siasatan rapi selain turut dibantu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengenal pasti bagaimana rokok-rokok dengan jumlah yang besar itu berjaya diseludup mengikut jalan darat," katanya.

Tambahnya, polis marin sentiasa komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan rokok kontraban serta semua jenis jenayah melibatkan perairan negara dan jenayah rentas sempadan selain berharap kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel