Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Jaringan awal jadi motivasi Tok Gajah benam Penyu 4-0


Tarikh kemaskini: 11/05/2019





KUANTAN, 11 Mei (Bernama) -- Jaringan seawal minit ketujuh menjadi motivasi kepada Pahang untuk kembali mempamerkan aksi cemerlang seperti di awal musim bagi membenam Terengganu FC (TFC) 4-0 pada saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini, semalam. 

Pengendalinya Dollah Salleh mengakui jaringan pertama oleh Faisal Abdul Halim memberi semangat kepada rakan sepasukan untuk terus melancarkan serangan bagi menghasilkan lebih banyak gol, dan bukannya bermain secara bertahan.

"Kita akui sejak kebelakangan ini rentak permainan agak tidak menjadi tapi permainan pada malam ini (semalam) menunjukkan prestasi, kerjasama dan disiplin yang baik untuk mencipta banyak ruang. Semua pemain yang diturunkan juga tidak menghampakan.  

"Mereka bermain sebagai sebuah pasukan bagi mengekalkan corak permainan yang saya mahukan sekaligus membolehkan kita bangkit selepas tewas kepada Terengganu pada suku akhir pertama sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan. 

Pada perlawanan itu, dua lagi gol Tok Gajah diperoleh menerusi penyerang importnya Dickson Nwakaeme pada minit ke-47 dan minit ke-63 sebelum Mohamadou Sumareh menambah derita skuad Terengganu dengan gol keempat pada minit ke-74. 

Kemenangan itu membolehkan Pahang selaku juara bertahan mara ke peringkat separuh akhir Piala FA musim ini dengan agreget 5-2 setelah tewas 1-2 kepada skuad Penyu pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 1 Mei lalu.

Dollah juga mengakui kehadiran Nwakaeme dan pemain import Safuwan Baharuddin dalam kesebelasan utama semalam, turut membantu meningkatkan keyakinan pasukan. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penyu Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan aksi kurang bermaya anak buahnya telah menghukum mereka dengan kekalahan besar kepada Pahang. 

"Pemain saya begitu lembut sehinggakan memberi ruang secukupnya kepada Pahang dan buktinya boleh dilihat apabila tiada sebarang kad kuning dilayangkan kepada kami.

"Bermain secara bersih itu bagus tetapi beraksi secara tidak agresif itu kurang bijak selain lambat menyerang dan tidak berani mengawal bola terlalu lama," katanya. 

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     

15,000 dijangka hadir majlis rumah terbuka Deepavali di Ipoh

 
     

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel