Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Impian miliki rumah sendiri tercapai menerusi Projek Baiti Jannati TNB 2019


Tarikh kemaskini: 10/05/2019





TAPAH, 10 Mei (Bernama) -- Peluang memiliki rumah sendiri setelah berpuluh tahun menanti menjadi perkara paling menggembirakan bagi 12 penerima rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2019 yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Faizal.

Bagi Zuraidah Ibrahim, 43, tiada kata yang dapat diungkapkan selain syukur dan terima kasih kepada  TNB apabila merealisasikan hasratnya untuk memiliki rumah sendiri.

Ibu kepada tiga anak yang menetap di Kuala Kurau, Kerian itu berkata pendapatan sebagai pekerja  sawah hanya membolehkan beliau dan suami menyewa rumah sahaja.

"Syukur dan Alhamdulillah berkat bulan Ramadan tahun ini kami sekeluarga dapat terima bantuan rumah ini," katanya kepada pemberita pada majlis Ihya Ramadan anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat negeri di Masjid Al-Mukmin, Kampung Batu 3, di sini, hari ini. 

Bagi Mohammed Sulaiman Abd Muthalif, 48, dari Teluk Intan pula berkata bantuan rumah itu adalah  satu rahmat buat beliau sekeluarga.

Mohammed Sulaiman yang bekerja kontrak di sebuah ladang kelapa sawit itu berkata beliau bersama isteri serta anak tunggalnya tinggal di rumah yang dibinanya sendiri untuk berlindung dan tidak berapa selesa.

"Saya dah tidak ingat berapa kali saya memohon untuk dapatkan rumah tapi Alhamdulillah tahun ini Allah berikan rezeki ini. Kerja macam ini, bila ada kerja ada duit kalau tidak kerja tiada duit, memang susah  menyimpan untuk bina rumah yang sempurna sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata projek membina rumah berkenaan akan dimulakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan dijangka siap Julai ini.

"Dijangkakan 12 buah rumah ini akan dibina secara serentak di beberapa tempat di seluruh Perak dan insyaAllah sebelum Hari Raya Aidiladha mereka boleh masuk.

"Sebuah rumah dibina dengan kos RM50,000 termasuk pembinaan rumah serta kelengkapan dalam rumah yang dibina di atas tapak yang disediakan," katanya.

Pada majlis itu, TNB turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada 50 fakir miskin dan 40 pelajar cemerlang anak Orang Asli di daerah Tapah yang turut disempurnakan Ahmad Faizal.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis tahlil sempena Sambutan Hari Pahlawan

 
     

MA63: Anwar beri jaminan selesai secara baik bila tiba giliran jadi PM

 
     

Sekolah di Selangor boleh dapatkan topeng muka di pejabat daerah dan ADUN

 
     

Jerebu: JPBN Sarawak bersedia sekiranya diumum darurat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel