Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sukan SEA: 19 pemain e-Sukan dipilih


Tarikh kemaskini: 10/05/2019





KUALA LUMPUR, 10 Mei  (Bernama) -- Sejumlah 19 pemain sukan elektronik (e-Sukan) akan mewakili negara dalam lima acara pada Sukan SEA Filipina, November ini apabila sukan itu membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pemain tersebut telah dipilih oleh Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menerusi kejohanan Grand Final sesi kelayakan Sukan SEA 2019, hujung minggu lalu.

Beliau berkata sasaran yang ditetapkan ialah tiga kedudukan podium dan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada permainan tersebut, iaitu Dota 2 dan Starcraft II (PC); Arena of Valor dan Mobile Legends (mobile) serta Tekken 7 (console).

“MSN akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada pemain itu dengan beberapa syarat seperti keperluan latihan sepenuh masa, pemeriksaan kesihatan, kecergasan dan sebagainya yang bakal dibantu oleh ISN (Institut Sukan Negara).

“Kita juga perlu membincangkan mengenai kesediaan pemain untuk mengikuti program latihan sepenuh masa atau sebaliknya kerana ada yang sudah mempunyai kerjaya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja MSN-ESM yang pertama, di sini, hari ini.

Shapawi menegaskan bahawa latihan itu perlu mengikut kebiasaan seperti sukan-sukan lain, mengikut struktur kejohanan supaya pemain dapat menyesuaikan diri untuk cabaran Sukan SEA nanti.

Beliau berkata, venue latihan pusat yang dikenal pasti adalah Orange E-sports Stadium di Setapak,di sini, yang mempunyai kemudahan lengkap dan ia dapat dilakukan berdasarkan konsep kerjasama kerajaan, persatuan dan sektor swasta.

Shapawi berkata sekiranya mana-mana pemain yang terpilih menarik diri, ESM mempunyai 19 pemain dalam senarai menunggu untuk ditawarkan tempat tersebut sebelum tarikh akhir penghantaran nama kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Julai ini.

“Mereka akan dihantar ke beberapa kejohanan, tetapi yang penting adalah kejohanan yang dianjurkan oleh Razer (SEA Games e-Sports Partner) di Singapura sebagai pendedahan kepada pemain kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha ESM, Hisyam Darus berkata, pihaknya sedang merancang butiran lanjut mengenai latihan, pelantikan jurulatih dan beberapa perkara lain.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel