Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pakar ekonomi sambut baik model ekonomi ''Kemakmuran Bersama''


Tarikh kemaskini: 10/05/2019




KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) --  Model ekonomi ’’Kemakmuran Bersama'’ yang diumumkan oleh kerajaan menyediakan langkah radikal terhadap asas dasar sosio-ekonomi baharu, kata Pusat Pengajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Model ekonomi baharu itu memberikan harapan baharu kepada semua rakyat Malaysia selepas hampir 50 tahun pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) oleh kerajaan sebelum ini, kata Pengerusi pusat itu Tan Sri Ramon Navaratnam.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menegaskan dasar baharu itu akan membolehkan rakyat Malaysia untuk terus mengalami pertumbuhan mampan dan saksama di setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, kelas atau lokasi.

Beliau berkata penyelesaian untuk mencapai objektif model ekonomi baharu sepatutnya termasuk menaikkan cukai kekayaan baharu, meningkatkan perbelanjaan untuk menyediakan lebih banyak kebajikan kepada golongan miskin serta menyediakan gaji dan upah lebih baik.

Bidang lain termasuk meningkatkan tahap latihan dan teknologi, memberi lebih tumpuan terhadap meritokrasi dan persaingan untuk menguruskan kekurangan besar golongan cerdik pandai, melayani semua rakyat Malaysia secara saksama tanpa mengira bangsa dan agama, dan melindungi  alam sekitar dan khususnya 17 Matlamat Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ramon menegaskan model ekonomi baharu yang dicadangkan itu perlu mendapat sokongan padu dan didukung oleh semua rakyat  Malaysia untuk memastikan keberhasilannya dan untuk faedah jangka panjang semua warganegara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan model ekonomi ‘Kemakmuran Bersama’ semasa menyampaikan perutusan bersempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)  semalam.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata objektif kemakmuran bersama itu merupakan naratif betul berikutan jurang pendapatan masih besar dan perlukan tumpuan khas.

Jika tidak, katanya ia akan membawa kepada masalah sosial yang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Sehubungan itu, tumpuan terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur adalah amat kritikal untuk memastikan pertumbuhan terangkum dapat direalisasikan.

“Selain itu, impak Revolusi Perindustrian 4.0 juga perlu diuruskan berikutan perubahan teknologi merupakan kuasa yang tidak dapat dikekang,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata kegagalan untuk menguruskannya akan menyebabkan jurang pendapatan akan melebar kerana pekerja berkemahiran rendah akan digantikan dan kehilangan pendapatan mereka, sambil menegaskan adalah  amat penting untuk melatih semula dan meningkat kemahiran pekerja.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     

Jerebu jejas pendapatan peniaga Tamu Ahad Sabindo

 
     

Jerebu tidak halang orang ramai beriadah

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel