Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Dua maut, tiga parah kemalangan empat kenderaan


Tarikh kemaskini: 10/05/2019





JERANTUT, 10 Mei (Bernama) -- Dua maut manakala tiga parah dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 14 Jalan Jerantut-Temerloh berhampiran Kampung Tebing Tinggi di sini, 12.45 tengah hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata mereka yang maut ialah peniaga berasal dari Senai, Johor Koo Khoon Liang, 37, dan Nor Rarzalina Abu Kasim, 44, kontraktor dari Benta, Lipis. 

Manakala tiga sekeluarga iaitu Fatimah Abdullah, 64, dan dua anaknya Rohasliana Mohd Rani, 25, dan Khalid, 35, yang menaiki kereta Produa Axia  cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raub. 

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Koo yang memandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dari arah Jerantut ke Temerloh cuba memotong kenderaan di hadapannya namun gagal. 

"Kenderaan itu kemudiannya melanggar kereta Proton Exora yang dipandu Nor Rarzalina dan Produa Axia menyebabkan kereta yang dinaiki tiga beranak itu berpusing lalu melanggar kereta Proton Persona yang tidak sempat mengelak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Persona Mohd Safarullah Mohd Safri, 30,  dari Felda Jengka 20, Maran tidak cedera. 

Kamarulzaman berkata bedah siasat akan dilakukan di Hospital Jerantut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

"Bomba menggunakan alat hidraulik untuk mengeluarkan dua mangsa yang cedera parah akibat tersepit di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia manakala mayat dua mangsa yang meninggal dunia dijumpai di luar kenderaan masing-masing," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel