Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pasar percuma di Kuala Berang gembirakan golongan kurang berkemampuan di Aidilfitri


Tarikh kemaskini: 10/05/2019





Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) -- Lambakan pakaian yang sudah tidak muat dipakai oleh enam anaknya mendorong seorang lelaki mewujudkan sebuah pasar percuma di Kuala Berang dekat Hulu Terengganu. 

Rosli Nooral Azhar, 48, berkata beliau pernah terfikir untuk mendermakan semua pakaian itu kepada golongan memerlukan, namun agak sukar dilakukan bersendirian kerana kekangan masa. 

"Hasil perbincangan dengan isteri dan sahabat terdekat, kami wujudkan sebuah pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian di Kuala Berang yang boleh diambil sesiapa sahaja secara percuma," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Pasar percuma itu telah dimulakan pada Ramadan tahun lalu dan sejak itu, jumlah sumbangan pakaian yang diterima pihaknya semakin meningkat.

Selain pakaian, orang ramai turut menderma pelbagai barangan lain seperti makanan dan keperluan dapur. 

Setakat ini, pasar percuma itu telah menerima lebih 3,000 pasang baju kurung, blaus wanita dan baju kanak-kanak serta bayi, 300 helai tudung, 500 helai pakaian lelaki serta ratusan permainan untuk kanak-kanak. 

Rosli berkata berikutan jumlah sumbangan yang diterima semakin meningkat sejak awal Ramadan ini, pihaknya memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk membantu pengunjung pasar percuma mencari pakaian serta barangan yang sesuai untuk mereka.

"Setiap hari, pasti ada sekurang-kurangnya empat petugas sukarelawan yang membantu orang ramai mencari barangan keperluan mereka.

"Sepanjang Ramadan ini, kami beroperasi 24 jam untuk menerima dan mengagihkan sumbangan berbanding waktu operasi pada hari biasa iaitu 11 pagi hingga 4.30 petang," katanya.

Harapannya agar usaha kecil itu dapat membantu lebih ramai golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menyediakan keperluan mereka untuk Aidilfitri tidak lama lagi.

"Senyuman pengunjung pasar percuma ini memberi kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan. Apatah lagi, semakin banyak penyumbang yang tampil menghulurkan pelbagai barangan.

"Saya berharap pasar percuma ini akan membuatkan Aidilfitri nanti lebih bermakna buat mereka yang memerlukan. Datanglah dan ambillah mengikut kesesuaian," katanya. 

-- BERNAMA 

 


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel