Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Perkhidmatan jalur lebar, liputan selular beri manfaat kepada penduduk Sandakan


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





Oleh Haslin Gaffor

SANDAKAN, 9 Mei (Bernama) -- Mendiami perkampungan di Pulau Berhala tidak menjadi batasan kepada penduduk di pulau itu untuk melayari Internet menerusi liputan selular.

Menerusi liputan selular 3G dan 4G yang terdapat di kampung itu, penduduknya dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk berhubung termasuk menerusi aplikasi telefon pintar dan melayari media sosial bagi mengetahui perkembangan semasa.

Ketua Kampung Pulau Berhala, Junior Jikirin, 58, berkata rata-rata penduduk di pulau itu yang terletak 20 minit perjalanan menaiki bot dari Bandar Sandakan memiliki telefon pintar disebabkan adanya liputan selular di pulau itu.

Katanya ini membolehkan penduduk di pulau itu yang berjumlah kira-kira 3,000 orang tidak ketinggalan daripada perkembangan dunia teknologi komunikasi dan maklumat.

"Bagi saya, perkhidmatan liputan celular ini penting dalam saya menjalankan urusan sebagai ketua kampung di pulau ini khususnya untuk berhubung dengan individu di agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan untuk urusan pembangunan dan masalah kampung," katanya kepada Bernama di sini.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), kawasan liputan selular 3G dan 4G di kawasan berpenduduk di daerah ini menunjukkan peningkatan.

Pada tahun lepas, liputan selular 3G adalah 93.3 peratus, manakala 4G (75.7 peratus) berbanding liputan selular terkini adalah 3G (95.6 peratus) dan 4G (77.8 peratus). 

Peningkatan kawasan liputan selular ini sejajar dengan komitmen kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia memastikan lebih banyak rakyat khususnya di kawasan pedalaman negeri ini dapat menggunakan kemudahan Internet dan jalur lebar. 

Bagi perkhidmatan jalur lebar disediakan Unifi Telekom Malaysia (TM) di daerah ini terdapat 16,123 talian tersedia di 57 kawasan dan sehingga kini hanya 6,846 dilanggan.

Bagi Streamyx, jumlah talian tersedia berjumlah 29,929, manakala jumlah talian dilanggan sebanyak 8,524.

Perkhidmatan Internet menerusi talian tetap ini dan liputan selular ini menjadi penyumbang kepada usaha kerajaan dalam mewujudkan Pusat Internet Malaysia (PIM) yang salah sebuah terdapat di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra.

Pusat ini beroperasi sejak 2017 telah menjadi platform kepada usahawan kecil mempelajari cara untuk mempromosi produk yang mereka hasilkan menerusi media sosial antaranya Facebook dan WhatsApp. 

Nadira Abdul Latif, 45, antara 12 usahawan kecil yang dibantu untuk memperkembangkan perniagaan menerusi promosi dan tempahan platform media sosial.

Pengurus PIM PPR Taman Mesra Habibah Duramit berkata Nadira, seorang suri rumah sebelum ini hanya berniaga makanan di kawasan PPR itu dan selepas menjadi ahli PIM dan mahir melayari Internet, beliau menggunakan Internet untuk mempromosi menu makanan dan menerima tempahan.

Katanya ini membolehkan Nadira menambah hasil pendapatannya menerusi tempahan kek, biskut dan pulut kuning.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ketika lawatannya ke daerah ini baru-baru ini mahu memastikan capaian perkhidmatan selular dan talian tetap jalur lebar diperluas ke daerah ini biarpun kos untuk perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi itu adalah tinggi

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Rosmah pohon jaminan kos RM500,000 daripada syarikat barang kemas Lubnan

 
     

Separuh penjawat awam terlibat rasuah adalah golongan muda

 
     

Sultan Nazrin rasmi klinik kesihatan Simpang

 
     

Dua warga emas lari lebih 500km sempena Hari Kebangsaan ke-62

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel