Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Keputusan pembukaan WCE 20 mei ini -MB Perak


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





IPOH, 9 Mei (Bernama) -- Keputusan sama ada tiga jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang membabitkan negeri Perak boleh dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri akan diumumkan pada 20 Mei ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Satu pengumuman akan dibuat pada 20 Mei ini dan sekurang-kurangnya satu jajaran (Hutan Melintang ke Teluk Intan) akan dibuka sebelum Hari Raya dan sebolehnya kita dapat membuka lebih daripada satu jajaran bagi kemudahan pengguna melawat sanak saudara menjelang perayaan itu.

“Kita tidak boleh mendedahkannya sekarang dan apa yang pasti pengumuman itu memberi keadilan kepada rakyat dan apa-apapun kena tunggu 20 Mei ini untuk pengumuman secara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Di Sepanjang Jajaran WCE di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang melaporkan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah memaklumkan empat pakej WCE Banting-Taiping yang dikatakan akan dibuka sebelum akhir bulan belum boleh digunakan.

Abdul Aziz berkata ia berikutan masih ada kerja-kerja di lebuhraya berkenaan yang masih perlu dilaksanakan bagi memastikan ia benar selamat. 

Sementara itu, Pengarah Urusan WCE Sdn Bhd, Datuk Neoh Soon Hiong berkata tiga jajaran yang membabitkan negeri itu sudah siap antara 94 hingga 96 peratus.

Beliau berkata bahagian terakhir projek berkenaan agak sukar sedikit kerana ia bergantung kepada agensi lain untuk mendapatkan gazet daripada kerajaan persekutuan seperti had warta dan pematuhan keselamatan.

“Tanpa had warta persekutuan dan pematuhan keselamatan, kita tidak boleh buka kepada orang awam, itu adalah fasa terakhir dan kita akan umumkan pada 20 Mei ini sama ada ia siap atau sebaliknya,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat jawatankuasa itu, Ahmad Faizal berkata penubuhan jawatankuasa tersebut antaranya membincangkan pembangunan yang perlu dilaksanakan di daerah terpencil di Perak khususnya Bagan Datuk yang mana pembangunan di kawasan itu dilihat agak terkebelakang.

"Peluang untuk kita majukan kawasan di daerah-daerah yang terpencil termasuk Teluk Intan, Perak Tengah dan sebagainya adalah cukup tinggi memandangkan harga tanah kita yang masih rendah berbanding di negeri Selangor dan Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel