Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Calon DAP rayu pengundi Sandakan di luar pulang


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





SANDAKAN, 9 Mei (Bernama) --Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee merayu agar pengundi Sandakan, yang tinggal di luar kawasan Parlimen ini, supaya kembali untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada 11 Mei ini.

Beliau berkata, setiap undi oleh pemilih berdaftar di Sandakan amat bernilai untuk mencipta satu harapan baharu untuk Sandakan.

“Inilah mesej saya kepada pengundi di luar Sandakan, pulanglah untuk mengundi kerana pengundi yang ada di Sandakan lebih kurang 80 peratus sahaja.

“Saya berharap pengundi Sandakan di luar peka terhadap kepentingan untuk mengundi demi masa hadapan Sandakan,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Ginger Phoong Jin Zhe berkata undi kepada Wong, 30, akan memberi peluang kepada wanita muda itu untuk menarik anak Sandakan yang bermastautin di luar untuk kembali berbakti dan membangunkan Sandakan.

“Sudah tentu Sandakan memerlukan anak muda untuk membangunkan kawasan ini dan mengembalikan zaman kegemilangannya.

“Calon DAP seorang yang berwawasan dan mempunyai visi untuk menjadikan Sandakan sebuah bandar yang menarik untuk warga Sandakan pada masa hadapan,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata kemenangan Pakatan Harapan menerusi calon DAP di Sandakan akan membawa satu pusingan nasional selepas kekalahan di tiga PRK iaitu Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri Semenyih dan Parlimen Rantau.

“Satu kemenangan besar di Sandakan akan memberi mesej kepada negara dan dunia bahawa kerajaan PH mendapat galakan (booster) daripada rakyat untuk mentadbir negara.

“Latar belakang kerajaan PH memang sangat pendek iaitu setahun sahaja, tetapi saya yakin tahun kedua pentadbiran kerajaan PH akan lebih baik daripada tahun pertama,” katanya.

Lim, yang juga anggota Parlimen Iskandar Puteri, mengakui ramai mengadu banyak perkara yang dijanjikan PH tidak tercapai dalam tahun pertama menjadi kerajaan.

Beliau juga mengakui pentadbiran kerajaan dalam tahun pertama rumit kerana berusaha membersihkan kegiatan korupsi yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Tetapi kita telah meletakkan asas pada tahun pertama untuk empat tahun akan datang dan kami terus komited untuk menunaikan janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Lim juga berkata sebaik sahaja kemenangan berpihak kepada Wong pada PRK Sandakan ini, satu pertemuan akan diadakan melibatkan menteri kabinet negeri dan Persekutuan serta sektor swasta untuk membincangkan bagaimana untuk mengembalikan semangat ekonomi kepada Sandakan seperti ketika era pentadbiran Kompeni Borneo Utara British.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel