Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sarawak perlu dana RM154 bilion untuk 11 tahun akan datang - Abang Johari


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





KUCHING, 9 Mei (Bernama) -- Sarawak memerlukan dana kira-kira RM154 bilion untuk 11 tahun akan datang bagi keperluan infrastruktur, utiliti dan kemudahan dalam mencapai wawasannya untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada 13 Jan, 2017 dan menyedari tahap semasa pembangunan di negeri ini, beliau telah melaksanakan beberapa langkah berani untuk meningkatkan hasil dan memperluaskan perbelanjaan pembangunan negeri ini untuk menyokong inisiatif pembangunan.

“Kita perlu mengawal destinasi kita sendiri… kita perlu mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pembangunan yang kita rancang untuk negeri ini dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi dana pembangunan memandangkan senario politik masa kini,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun lepas, Sarawak bergantung kepada dana daripada Kerajaan Persekutuan, yang meluluskan RM79 bilion untuk pembangunan di negeri ini dari 1963 dan seterusnya.

Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan bagi negeri ini untuk dana pembangunan semakin meningkat dengan peruntukan RM89 bilion diluluskan setakat ini.

Abang Johari berkata, tahun ini sahaja Kerajaan Negeri meluluskan RM9.1 bilion untuk pembangunan, peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan pembangunan negeri ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pulangan daripada pelaburan kami, termasuk dari MLNG, digunakan untuk membiayai program-program pembangunan dan projek,” katanya.

Oleh itu, cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum dilaksanakan mulai tahun ini, sebagai  sumber pilihan untuk dana bagi membiayai pembangunan infrastruktur secara besar-besaran.

Kerajaan Negeri juga menubuhkan bank pembangunannya sendiri, iaitu Bank Pembangunan Sarawak atau DBoS untuk membiayai projek infrastruktur dan utiliti yang strategik, katanya.

Bagi mempertingkatkan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di negeri ini, beliau berkata satu pendekatan baru dalam perancangan wilayah sedang dijalankan.

Ini dilakukan melalui penubuhan Agensi Pembangunan Wilayah Samarahan (IRSDA) di bawah Residen Samarahan dan agensi-agensi baru di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), iaitu Agensi Pembangunan Rejang Hulu (URDA), Agensi Pembangunan Highland (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel