Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sekeluarga berbuka puasa dalam banjir


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





TASEK GELUGOR, 9 Mei (Bernama) -- Sepasang suami isteri dan lapan anak mereka terpaksa berbuka puasa dalam banjir semalam apabila tiba-tiba rumah mereka di Kampung Petani Merbau Kudung, di sini dinaiki air selepas hujan lebat sejak tengah hari semalam.

Norhayati Hashim, 42, berkata mereka sekeluarga sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa sebelum air banjir memasuki rumah mereka hingga paras lutut dan mereka hanya sempat minum kerana mahu menyelamatkan barangan elektrik.

"Memang hujan sejak Isnin lagi, tapi tengah hari semalam hujan lebat dan saya tengok air Sungai Merbau Kudung yang terletak tak jauh dari rumah kami juga semakin naik tapi ketika itu air banjir tidak masuk rumah lagi.

"Saya buat persiapan untuk berbuka dan ketika azan Maghrib tiba-tiba air masuk ke dalam rumah, kami hanya minum sebelum cuba selamatkan barangan elektrik ke tempat lebih tinggi agar tidak rosak," katanya ketika di temui di pusat pemindahan banjir Dewan Muhibbah Merbau Kudung, di sini hari ini.

Beliau dan suami, Hazilan Hussin, 47, serta lapan anak mereka berusia 18 bulan hingga 20 tahun pada  mulanya menunggu dalam rumah kerana menyangka air banjir akan surut namun air semakin naik.

Norhayati berkata, berikutan bimbangkan keselamatan keluarga, suaminya memaklumkan banjir itu kepada pihak berkuasa sebelum mereka sekeluarga keluar meredah banjir untuk ke pusat pemindahan banjir kira-kira pukul 2.00 pagi.

Katanya, rumah mereka telah tiga kali dilanda banjir sejak tahun 2017 namun ini kali pertama berlaku ketika Ramadan dan mereka sekeluarga terpaksa bersahur di pusat pemindahan berkenaan.

"Kalau banjir tidak surut hari ini kami mungkin berbuka puasa di pusat pemindahan tapi saya berharap air banjir cepat surut kerana kasihan anak yang masih kecil dan lima anak yang tidak dapat pergi ke sekolah... semua baju mereka basah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Sofiah Ariffin, 73, berkata beliau dan dua anak serta seorang menantu terpaksa tidur dalam banjir malam tadi sebelum mereka berpindah ke pusat pemindahan di Dewan Muhibbah awal pagi ini.

Beliau, yang tinggal di Kampung Petani Merbau Kudung berkata, rumahnya mula dinaiki air ketika sedang berbuka puasa namun hanya paras paha sahaja dan mereka mengambil keputusan untuk terus berada di rumah serta berharap air surut.

"Semasa sedang tidur, air banjir semakin naik dan kami terpaksa tidur dalam air sebelum anak membawa mak cik berpindah ke pusat pemindahan kira-kira pukul 5.00 pagi kerana takut banjir teruk," katanya.

Seorang lagi mangsa Nor Amarlina Md Taha, 24, berkata beliau bersama dua anaknya berusia 15 bulan dan lima tahun berpindah ke pusat pemindahan itu kira-kira pukul 7.30 pagi selepas air banjir masih lagi tidak surut di kawasan rumahnya.

"Rumah saya dua tingkat, jadi bila air mula naik semalam saya dan keluarga naik ke tingkat dua rumah. Namun bila pagi ini hujan masih lebat dan air masih belum surut saya berpindah ke pusat pemindahan kerana bimbang air naik lebih tinggi," katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel