Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Sebuah lagi pusat pemindahan banjir di buka di Pulau Pinang


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





TASEK GELUGOR, 9 Mei (Bernama) -- Sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di Dewan Kampung Tok Sani, Butterworth, dekat sini dengan 34 orang penduduk dari lapan keluarga di kawasan berkenaan  ditempatkan di situ hari ini.

Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya berkata pusat pemindahan itu dibuka kira-kira pukul 7.00 pagi ini selepas rumah penduduk di kawasan berkenaan dinaiki air kerana hujan lebat sejak semalam.

"Terdahulu pada pukul 2.00 pagi ini sebuah pusat pemindahan banjir di Dewan Muhibbah, Merbau Kudung dibuka dan sehingga pukul 1.00 tengah hari ini, 83 penduduk berusia 15 bulan hingga 75 tahun dari 15 keluarga ditempatkan di situ.

"Jumlah mangsa banjir di situ meningkat berbanding hanya 51 penduduk dari sembilan keluarga  dipindahkan ke situ sehingga pukul 5.30 pagi ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui melawat pusat pemindahan banjir Dewan Muhibbah di sini.

Kebanyakan rumah penduduk dinaiki air sehingga paras lutut dan sehingga pukul 2.00 petang, air masih belum surut dan mangsa yang terlibat belum dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing atas faktor keselamatan.

Shabudin berkata, bantuan awal dari segi bekalan makanan dan logistik kepada mangsa diselaraskan oleh Pejabat Daerah Seberang Perai Utara(SPU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak polis memantau keadaan keselamatan rumah serta mangsa banjir manakala petugas dari Jabatan Kesihatan negeri pula turut membantu memeriksa kesihatan penduduk bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat," katanya.

Katanya, makanan untuk berbuka puasa dan sahur kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan juga akan diagihkan menerusi kerjasama pejabat Anggota Parlimen Tasek Gelugor dan JKM.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan Mak Mandin mendapati dua buah sekolah rendah, pejabat pos dan klinik kesihatan ditutup kerana bangunan terlibat dinaiki air hingga paras kira-kira 0.5 meter.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Video Lucah: Beri ruang dan waktu untuk polis siasat -- KPN

 
     

Sultan Selangor rasmi pembukaan besar-besaran Central I-City

 
     

Elak minum susu kambing segar dari sebuah ladang di Pulau Indah

 
     

14 syarikat penuhi kriteria eksport buah Musang King ke China

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel