Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

10,514 anjing peliharaan di Sarawak telah diberi vaksin - Uggah


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





KUCHING, 9 Mei (Bernama) -- Sebanyak 4,350 ekor anjing liar telah dilupuskan manakala 10,514 ekor anjing peliharaan di Sarawak telah diberi suntikan vaksin Rabies pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sehingga 3 Mei, operasi khas Rabies fasa 1 hingga fasa 3 bagi daerah Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Bandaraya Kuching telah berjaya dilaksanakan.

“Jumlah terkumpul anjing yang disuntik vaksin Rabies di seluruh Sarawak adalah 120,353 atau 57 peratus dari anggaran 210,000 ekor manakala bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Mei 2019 adalah berjumlah 25,593 kes,” katanya dalam ucapan penggulungannya di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata jenayah indeks Sarawak telah meningkat sebanyak 1.05 peratus iaitu pertambahan 20 kes bagi empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama 2018.

“Jenayah kekerasan telah menunjukkan penurunan sebanyak 8.88 peratus (272 kes) tetapi jenayah harta benda telah menunjukkan peningkatan sebanyak tiga peratus iaitu pertambahan 47 kes yang disumbangkan oleh jenayah pecah rumah dan curi.

“Walaupun terdapat sedikit peningkatan bagi jenayah indeks dan harta benda, secara keseluruhannya, keadaan keselamatan negeri Sarawak masih dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Uggah berkata isu keselamatan maritim turut diberi perhatian memandangkan wujud insiden pihak negara asing menghalang nelayan tempatan menjalankan aktiviti perikanan di perairan Sarawak.

“Pencerobohan oleh nelayan asing juga dipantau rapi dan diambil tindakan tegas oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Raja Perlis mahu pendakwah saudara baharu sentiasa lengkapkan ilmu

 
     

Profesionalisme pakar patologi negara diyakini

 
     

Polis akan panggil penganjur perhimpunan anti-Lynas

 
     

Bacaan IPU di Sri Aman kekal 'sangat tidak sihat'

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel