Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Alam Flora dan KEMUDI kerjasama bantu golongan OKU


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





KOTA BHARU, 9 Mei (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada bulan Ramadan dengan memberi sumbangan serta menceriakan kediaman golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, ia adalah sebahagian usaha menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan khususnya pada bulan Ramadan.

“Hari ini kita turun padang dengan 10 kakitangan Alam Flora serta 10 wakil pengamal media Kelantan mencuci kawasan luar dan dalam rumah Mohd Fauzi Hassan, 50, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal di Lundang yang didiami bersama tiga anak berusia tujuh hingga 10 tahun,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Alam Flora bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di Kampung Lundang, baru-baru ini. 

Hadir sama, Presiden KEMUDI Azran Fitri Abdul Rahim dan Timbalan Presiden KEMUDI Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Mohd Zain berkata, selain menyalurkan sumbangan wang tunai serta keperluan asas, pihaknya turut menceriakan kawasan kediaman penerima dengan membeli cadar serta kerusi baharu bagi keselesaan hidup yang lebih baik. 

“Menerusi program ini juga kita akan membantu memberikan sumbangan serta menceriakan beberapa buah kediaman golongan asnaf di negeri ini termasuk di Pasir Mas dan Pantai Cahaya Bulan,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata pemberian itu sangat bermakna baginya dan anak-anak untuk bekalan sepanjang Ramadan yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban yang ditanggung. 

“Sejak umat Islam menyambut Ramadan beberapa hari yang lalu, kami hanya mengharapkan lauk-pauk pemberian daripada jiran tetangga untuk berbuka puasa,” katanya.

Katanya, isterinya Anisa Abdul Rahman, 46, seorang warga Indonesia yang dinikahi di Yala, Thailand pada 2007 telah dihantar pulang ke negara asalnya awal tahun ini setelah beberapa bulan ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah akibat kesalahan pasport tamat tempoh. 

Mohd Fauzi berkata, beliau yang satu-satunya bertanggungjawab untuk menyara keluarga hanya mengambil upah menjual sayur dengan membuka gerai di hadapan rumahnya dengan pendapatan kira-kira RM15 sehari. 

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya perlu berjimat cermat dan ada ketikanya hanya makan nasi kosong serta kicap untuk mengisi perut,” katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan yang digunakan untuk keperluan anaknya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kedah nafi keluarkan watikah kurniaan Ahli Kehormat DiRaja

 
     

Jumlah mangsa banjir di PPS Beaufort 448 orang

 
     

PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

 
     

Sambutan filem 'Garang - Aku Luar Biasa' mengenai atlet paralimpik kurang memberangsangkan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel