Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Melaka gesa TNB pastikan sistem meter pintar berfungsi sempurna


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





MELAKA, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan pelaksanaan sistem meter pintar termasuk aspek aplikasi 'myTNB' berfungsi dengan sempurna, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memudahkan pengguna khususnya rakyat negeri itu memantau penggunaan tenaga elektrik mereka melalui telefon pintar seterusnya dapat membantu rakyat menjimatkan penggunaan elektrik mereka.

"Kita melihat terdapat beberapa masalah yang perlu diberi perhatian oleh TNB seperti paparan penggunaan di aplikasi myTNB tidak sama dengan di meter selain aplikasi berkenaan didakwa sering mengalami gangguan dan sukar diakses," katanya pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Semalam, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Negeri Melaka Ahmad Rezahan Mohammad dilaporkan sebagai berkata pihaknya ambil maklum berkaitan isu bil tinggi serta aduan lain dihadapi segelintir pengguna meter pintar dan akan mengkredit semula lebihan caj pengguna meter pintar di negeri ini ke dalam bil elektrik pengguna tersebut sekiranya semakan mendapati berlaku lebihan caj.

Adly berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menghentikan penggunaan meter pintar itu dan kembali ke meter lama, sebaliknya percaya isu itu boleh ditangani TNB dengan sebaiknya.

Katanya antara inisiatif boleh dilaksanakan TNB termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu yang timbul melibatkan penggunaan meter pintar itu menerusi aduan yang diterima dan meningkatkan penganjuran program bertemu rakyat agar maklumat tepat dapat disampaikan secara terus kepada mereka.

Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 250,000 meter pintar telah ditukar di negeri itu secara berperingkat dan daripada jumlah itu, kira-kira 2,500 laporan berhubung meter itu telah diterima TNB.

"Daripada jumlah itu juga, sekitar 1,600 laporan telah diambil tindakan oleh TNB menerusi beberapa kaedah termasuk mengarahkan anggotanya ke lokasi untuk memeriksa meter yang dipasang serta memberi panduan penggunaan tenaga elektrik yang betul bagi mengelak pembaziran yang menyumbang pada peningkatan bil elektrik," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kepelbagaian masyarakat seharusnya jadi kekuatan negara - MB Pahang

 
     

Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat

 
     

Terenggau muncul juara Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019

 
     

Pelancong tertumpu di kawasan yang tertutup akibat jerebu

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel