Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kutipan hasil Pahang meningkat RM41.3 juta


Tarikh kemaskini: 09/05/2019





KUANTAN, 9 Mei (Bernama) -- Kutipan hasil kerajaan negeri Pahang bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak RM41.3 juta kepada RM181.5 juta daripada RM140.2 juta bagi tempoh sama 2018.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menyifatkan ia satu daripada kejayaan utama dalam tempoh setahun pentadbiran kerajaan negeri, berkata hasil itu juga melibatkan kutipan cukai tertunggak. 

"Antara penyumbang kepada kutipan ini ialah hasil tanah yang merupakan kutipan tertinggi iaitu RM111.4 juta selain hasil hutan (RM26.9 juta), air (RM855,411) dan hasil lain termasuk cukai tertunggak (RM29.8 juta). 

"Ini adalah kejayaan yang membanggakan kerana bukan senang untuk kita meningkatkan nilai kutipan hasil pada jumlah ini dalam tempoh empat bulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Wan Rosdy berkata tumpuan kini diberikan untuk meningkatkan hasil pendapatan dengan menggunakan sumber yang ada bagi menarik lebih ramai pelabur asing. 

Beliau juga memaklumkan baharu sahaja mengetuai delegasi Pahang ke Singapura untuk misi pelaburan dan intipati lawatan kerja itu turut melibatkan kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan dan Industri negara itu, Chan Chun Sing. 

"Kita mendapati mereka sangat berminat dengan sektor pertanian dan pelancongan. Kerajaan negeri akan berusaha menyediakan kemudahan yang baik untuk menarik mereka melabur di sini," katanya. 

 Beliau menambah Pahang juga melaksanakan pembaharuan terhadap agensi dan anak syarikat milik kerajaan negeri bagi memastikan pelaburan yang dibuat bermanfaat. 

"Sebagai contoh, setiap pelaburan yang ingin dilakukan perlu melalui jawatankuasa risko terlebih dahulu bagi mengkaji dan memperhalusi sama ada perlaburan itu mendatangkan hasil," katanya. 

Selain itu, Wan Rosdy berkata aplikasi 'Pahang Go' yang membolehkan rakyat menjelaskan bayaran seperti bil utiliti, cukai taksiran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan levi atau fi kepada kerajaan negeri akan dilancarkan bulan depan. 

Aplikasi yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan dan boleh dimuat turun ke telefon pintar pengguna itu akan menjimat masa dan tenaga dalam membuat bayaran tanpa perlu ke kaunter. 

-- BERNAMA 


 

   

 
 
     
   
 

Gajah mati ditembak: tiga lagi didakwa

 
     

Jalan sekitar Ipoh ditutup sempena Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019

 
     

Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong

 
     

Zaman persekolahan nakal tapi hormat ibu bapa, guru - KPN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel