Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Penutupan 50 GLC Terengganu jimatkan RM150 juta setahun - MB


Tarikh kemaskini: 08/05/2019





KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Penutupan 50 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan Terengganu yang tidak lagi aktif dalam sebarang aktiviti perniagaan akan menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM150 juta setiap tahun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jumlah peruntukan itu boleh disalurkan kembali kepada rakyat, terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata dalam tempoh setahun pemerintahan PAS di Terengganu, pihaknya sudah mengenal pasti  kelemahan, kekurangan serta kekuatan sesebuah anak syarikat milik kerajaan negeri itu.

“Kita akan memutuskan mana (syarikat) perlu ditutup, digabung serta diteruskan. Kerajaan negeri sebelum ini terpaksa memberi suntikan RM150 juta setahun untuk digunakan bagi tadbir urus syarikat berkenaan meskipun tidak lagi menyumbang kepada ekonomi Terengganu.

"Sebab itu, kita muktamadkan untuk tutup 50 anak syarikat ini bagi mengelak lebih banyak kerugian dan hasil penjimatan boleh digunakan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan 50 syarikat itu adalah anak syarikat di bawah Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan menjalankan perniagaan hampir serupa antara satu sama lain menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat.

Malah, katanya ada antara syarikat berkenaan menjalankan perniagaan bukan teras seperti mengeluarkan barang niaga untuk kerajaan negeri melibatkan kos tinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata pejabat pentadbiran kerajaan Terengganu akan terus dikekalkan di Wisma Darul Iman kerana ia dapat menjimatkan pelbagai kos antara RM30 dan RM40 juta.

"Perancangan kerajaan terdahulu ialah memindahkan pejabat pentadbiran negeri ke bangunan baharu setinggi 30 tingkat di Menara Darul Iman yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

"Sekiranya perancangan untuk berpindah ini diteruskan, ia akan melibatkan kos kewangan yang banyak, jadi kita putuskan pejabat pentadbiran negeri kekal di Wisma Darul Iman," katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

APM NS sedia hadapi sebarang kemungkinan bencana

 
     

Dr Mahathir, isteri cetus keterujaan di Pantai Chenang

 
     

Anwar setuju tindakan polis tahan individu dikaitkan dengan keganasan

 
     

Ibu mati, anak OKU dijumpai dahaga lapar dalam rumah di Skudai

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel