Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Orang ramai gesa kerajaan Kelantan tarik balik arahan


Tarikh kemaskini: 08/05/2019





Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 8 Mei (Bernama) -- Ramai dalam kalangan rakyat Kelantan menggesa kerajaan negeri menarik balik arahan kepada pemilik kedai makan dan restoran supaya menutup premis perniagaan dari pukul 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini. 

Seorang penduduk Kampung Padang Bongor, Nurul Syamimi Mohd Raduan, 25, yang ditemui Bernama di sini hari ini berkata arahan itu tidak relevan dan akan menjejaskan pelbagai pihak termasuk pengguna dan peniaga. 

“Arahan menutup kedai makan ketika waktu solat tarawih ini tidak munasabah kerana ia hanya melibatkan tuntutan fardu kifayah sahaja lagipun ibadah ini boleh dilakukan secara bersendirian di rumah,” katanya.

Syamimi berkata arahan penutupan operasi selama sejam setengah itu juga dilihat akan menjejaskan pendapatan peniaga.

Sementara itu seorang pengguna Adrian Zailan Abdul Rahman, 46, berkata kerajaan negeri sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan itu. 

“Orang ramai nak mencari makan pun menjadi susah apabila kedai makan dan restoran diarahkan tutup ketika waktu berkenaan malah jika hendak ke kedai selepas waktu berkenaan ia agak sudah terlewat,” katanya.

Adrian berkata menurut Islam, mencari rezeki untuk nafkah keluarga itu wajib sedangkan solat tarawih hanya ibadah sunat, jadi tidak perlu kerajaan negeri merumitkan keadaan.

“Walaupun (menunaikan solat sunat) tarawih di masjid secara berjemaah itu lebih baik mengikut sesetengah pendapat ulama, namun ia (tarawih) dibenarkan dibuat di rumah jika tidak mampu ke masjid kerana mencari rezeki,” katanya. 

Terdahulu, akhbar melaporkan Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan menerusi sepucuk surat yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Adnan Hussin supaya semua premis makanan ditutup atau menghentikan sementara operasi selama sejam 30 minit bermula dari pukul 8.30 malam sepanjang Ramadan bagi menghormati bulan suci itu dan mengalakkan umat Islam menunaikan Tarawih.

Arahan itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaannya tidak akan mencontohi Kerajaan PAS Kelantan dalam isu berkenaan.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Ubah suai program di IPT untuk kurangkan kadar pengangguran

 
     

MBM cadangkan supaya ijazah graduan protes ketika graduasi ditahan sehingga mohon maaf

 
     

PPIK - KPDNHEP bincang isu tarik kereta

 
     

Kes Letupan CityOne Megamall : Bicara pengarah mulai 28 Jan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel