Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Usahawan Sarawak akan promosikan produk pada pameran perdagangan antarabangsa


Tarikh kemaskini: 08/05/2019





KUCHING, 8 Mei (Bernama) – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Sarawak akan menyelaraskan penyertaan di tujuh ekspo perdagangan, kebanyakannya di luar negara pada separuh kedua tahun ini untuk mempamerkan dan mempromosikan pelbagai produk Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Wong Soon Koh berkata kementerian akan mengaturkan penyertaan usahawan tempatan, antara lain pada pameran Makanan dan Hotel Myanmar 2019 di Yangon dari 5 hingga 7 Jun yang akan menghimpunkan semua pemain utama dalam industri makanan dan hospitaliti negara.

Beliau berkata usahawan Sarawak juga akan menyertai pameran Makanan Taipei 2019 di Taiwan, yang akan diadakan dari 19 hingga 22 Jun.

“Kementerian saya telah menyebarkan butiran pameran perdagangan berkenaan kepada persatuan perniagaan relevan untuk mereka mencalonkan ahli mereka untuk menyertainya.

“Kami menggalakkan lebih banyak syarikat tempatan baharu yang bersedia untuk mengeksport  dalam menyertai dan mencari peluang di pasaran antarabangsa,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Pameran perdagangan antarabangsa yang lain ialah Ekspo Maritim Antarabangsa Pasifik (PACIFIC 2019) di Sydney, Australia dari 8-10 Okt.

Usahawan Sarawak juga akan menyertai ANUGA 2019 di Jerman, pameran perdagangan terbesar dunia yang diadakan sekali setiap dua tahun dari  5 hingga 9 Okt dan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) di Shanghai pada 5-10 Nov.

CIIE,  menurutnya, merupakan  pameran import pertama yang didedikasikan untuk meneroka pasaran China manakala Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB 2019) di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Jun adalah acara perdagangan makanan dan minuman terbesar di negara ini dengan lebih daripada 600 syarikat dari 50 negara.

Satu lagi pameran perdagangan domestik ialah Pameran Perdagangan Minuman Antarabangsa Malaysia 2019 (IBTN) pada 31 Okt hingga 2 Nov di Kuala Lumpur, pameran perdagangan minuman pertama di negara ini untuk mewujudkan kesan mengujakan di satu daripada pasaran paling penting di Asia Tenggara.

"Dalam ekspo berkenaan, kami berharap untuk mempamerkan dan mempromosikan lebih banyak produk termasuk bahan binaan, kapal maritim, peralatan dan perabot selain daripada makanan dan minuman, produk kayu dan kraf," kata Wong.

-- BERNAMA

 


 

   

 
 
     
   
 

Amalan letak wanita di kelas rendah dalam organisasi kini tidak relevan

 
     

Perbicaraan kes rogol libatkan Exco Perak bersambung Februari depan

 
     

Lelaki meninggal dunia terkena renjatan elektrik ketika harung banjir

 
     

JPJ N. Sembilan kutip RM1.2 juta bidaan nombor pendaftaran NDN

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel