Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Pelbagai jenis, warna air balang tarik perhatian pengunjung bazar Ramadan


Tarikh kemaskini: 07/05/2019





Oleh Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli

BESUT, 7 Mei (Bernama) -- Pelbagai jenis dan warna air balang yang disusun cantik di gerai bazar Ramadan pastinya akan membuatkan pengunjung yang seharian berpuasa berasa terliur.

Daripada tinjauan Bernama di bazar Ramadan Kampung Raja di sini, terdapat kira-kira 15 hingga 20 gerai minuman daripada keseluruhan 162 gerai di situ, yang rata-rata air dijual antara RM1 dan RM4 setiap satu.

Peniaga Noridayu Mohd Ropi, 21, yang menyediakan lebih 10 jenis air balang berkata berapa banyak jenis air ditawarkan dan warna air tersebut memainkan peranan penting bagi menarik pelanggan untuk singgah di gerainya.

“Saya menyediakan lebih 10 jenis minuman antaranya Milo ais, lemon blue ais, nira kelapa dan asam boi limau kasturi.

“Pengunjung pastinya ingin membeli minuman kegemaran mereka bagi melepaskan dahaga setelah seharian berpuasa. Oleh itu sebagai peniaga saya sentiasa inginkan yang terbaik dan berharap jualan saya memberi kepuasan kepada pembeli,” katanya ketika ditemui Bernama di bazar tersebut.

Noridayu yang sudah empat tahun berniaga air balang di bazar tersebut berkata beliau lebih mementingkan kualiti air dan rasa asli air yang dibancuh, walaupun kos penyediaan sedikit mahal demi kepuasan pelanggan.

“Contohnya ketika menyediakan Milo ais saya menggunakan Milo asli dan tidak menukarkan Milo dengan serbuk koko walaupun harganya lebih murah. Ini kerana saya lebih mementingkan kualiti air jualan saya,” katanya.

Nurul Najihah Buruhan, 30, berkata pada tahun lepas beliau cuba berniaga air di pinggir jalan dan tidak mengambil tapak di bazar, namun sambutan diterima tidak sehangat di bazar Ramadan.

Hal ini, katanya, kerana bazar merupakan tumpuan utama mereka yang bekerja membeli makanan dan minuman untuk berbuka.

Bagi Nasuha Mizan, 30, beliau memilih berniaga minuman buah-buahan berbanding makanan kerana ia tidak memerlukan modal yang banyak tetapi mampu meraih hasil lumayan.

“Modal saya gunakan untuk menjual minuman adalah lingkungan RM200 hingga RM300 sahaja namun mampu mendapat hasil sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada jumlah tersebut.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, setiap hari dengan hanya berniaga air buah-buahan, jualan saya mampu mencecah 300 bungkus sehari dengan harga jualan RM2 sebungkus,” katanya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel