Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Tiga maut akibat dirempuh kereta pengedar ketum


Tarikh kemaskini: 07/05/2019





TANAH MERAH, 7 Mei (Bernama) -- Tiga beranak maut di tempat kejadian setelah bertembung sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki disyaki pengedar daun ketum di Kampung Nibong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad berkata mangsa ialah penunggang motosikal Honda EX-5 Norzurita Shah Kadir, 26 dan dua anaknya, Muhammad Adam Mukhriz Adnan, 6, dan Siti Husna Qaisara, 4.

Katanya, dalam kejadian 7.30 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira yang cedera ditahan untuk siasatan. 

"Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Tanah Merah ke Jeli untuk menghantar anaknya ke tadika berdekatan, manakala pemandu kereta berkenaan dari arah bertentangan.

Ketika sampai di tempat kejadian, kereta Proton Wira terbabit memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa terbabit," katanya ketika ditemui pemberita di sini,  hari ini. 

Suzaimi berkata hasil siasatan awal pihak polis mendapati kereta Proton Wira terlibat membawa muatan 150 kilogram daun ketum yang dipercayai untuk pasaran Tanah Merah.

"Pihak polis telah menahan pamandu kereta terbabit yang berumur 25 tahun, seorang warganegara Thailand yang positif dadah. 

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun," katanya.

Sementara itu,  adik mangsa Zulfadli, 25, berkata beliau mendapat panggilan dari orang awam mengenai kejadian itu, pada 8 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Kakak dan Siti Husna dalam perjalanan untuk menghantar Adam ke Tadika Kemas berhampiran. Sebelum itu Allahyarham menghantar seorang anaknya Siti Hajar Qistana, 8, di Sekolah Kebangsaan Jedok di sini.

“Saya difahamkan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dari arah bertentangan masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal Honda EX-5 Allahyarham,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Katanya kali terakhir dia berjumpa Allahyarham ialah pagi tadi di rumah ibunya.

“Allahyarham dan tiga anaknya menumpang mandi kerana tiada bekalan air di rumah mereka. Allahyarham bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     

Kematian pesakit Zika di Perak mungkin akibat virus tempatan

 
     

PM: Kerajaan akan kaji sistem rel dan contohi kecekapan Stesen Tokyo

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel