Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Macau Scam: Pekebun rugi lebih RM200,000 dalam seminggu


Tarikh kemaskini: 05/05/2019





KUANTAN, 5 Mei (Bernama) -- Seorang pekebun di Cameron Highlands kerugian RM290,606.80 dalam tempoh seminggu akibat diperdayakan sindiket Macau Scam yang mendakwa dirinya terlibat dengan penyeludupan dadah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata mangsa  yang berusia 54 tahun mendakwa membuat bayaran itu bermula 25 April hingga 1 Mei lalu.

Katanya, mangsa mendakwa dihubungi 'wakil' syarikat penghantaran pada 22 April lalu bagi memaklumkan dirinya mempunyai kiriman dari Sawarak yang mengandungi dadah, menyebabkan dia perlu berhubung dengan pihak polis. 

"Mangsa mendakwa dia dihubungkan dengan 'Tuan Yong' kononnya seorang pegawai Bukit Aman yang boleh menyelesaikan masalah itu dengan meminta mangsa melakukan pemindahan wang ke dalam pelbagai akaun. 

"Mangsa yang ketakutan menuruti semua arahan itu, namun mula hilang sabar apabila suspek mendesaknya berkali-kali untuk terus melakukan transaksi perbankan itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Pada kes berasingan, seorang pesara tentera berusia 71 tahun di sini, juga menjadi mangsa sindiket Macau Scam sehingga kerugian RM10,500 pada Khamis lalu. 

Mangsa mendakwa dihubungi suspek kononnya dari syarikat telekomunikasi yang memberitahu nombor telefonnya telah digunakan oleh syarikat judi haram. 

"Suspek menakutkan mangsa kononnya terdapat waran tangkap terhadap mangsa yang memerlukan dia membuat bayaran ke dalam akaun bank mahkamah dan dia perlu merahsiakan perkara itu selama tiga hari. 

"Bagaimanapun, mangsa menceritakan hal itu kepada anak perempuannya semalam, lalu mengetahui dirinya telah ditipu," katanya. 

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

JAS Johor pergiat pemantauan di sungai tercemar, kritikal di Pasir Gudang

 
     

Libatkan nama bekas MB sebagai calon PH Tanjung Piai, cubaan gugat keharmonian PH

 
     

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel