Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

PPM Wilayah Dua gagalkan cubaan seludup keluar 22 PATI Indonesia di Sungai Pulai


Tarikh kemaskini: 04/05/2019





JOHOR BAHRU, 4 Mei (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan dua tekong bot dan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negara ini melalui laluan tidak sah di Sungai Pulai, dekat Iskandar Puteri, malam tadi.

Komander PPM Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata kedua-dua tekong berumur lingkungan 30an dan kesemua PATI itu ditahan pada 10.30 malam menerusi Op Pintasan.

“Kita berjaya menahan dua bot dan pemeriksaan menemukan 22 pendatang asing tanpa izin di kedua-dua bot yang merangkumi 12 lelaki, sembilan wanita dan seorang kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka berumur dua hingga 38 tahun,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Khiu berkata pihaknya turut merampas kedua-dua bot gentian kaca terbabit iaitu satu daripadanya mempunyai dua enjin sangkut 40 dan 25 kuasa kuda manakala sebuah lagi menggunakan satu enjin 40 kuasa kuda.

Beliau berkata kedua-dua tekong terbabit akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 manakala kesemua PATI itu mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Dalam kes lain, Khiu berkata PPM Wilayah 2 Mersing pula berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 5,400 liter minyak masak bersubsidi dengan penahanan sebuah lori bersama seorang pemandu tempatan, kira-kira 7 malam tadi di Endau, dekat Mersing.

Beliau berkata penahanan dilakukan hasil intipan oleh Markas Taktikal dan Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua Mersing sejak dua minggu lepas selepas bertindak atas maklumat awam.

Katanya lori membawa kesemua minyak masak bersubsidi bernilai RM13,500 itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika melepasi jambatan Endau dan menuju ke Penyabong sebelum berhenti di hadapan sebuah pasar mini di Jalan Penyabong.

“Pegawai dan anggota PPM Wilayah 2 Mersing kemudian memeriksa lori berkenaan lalu menemukan enam tangki berisi minyak masak dengan setiap tangki dianggar seberat 900 kilogram.

“Soal siasat ke atas pemandu lori tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun menyatakan minyak masak itu dibawa dari Kuantan, Pahang untuk dihantar ke Pasir Gudang,” katanya.

Khiu berkata pihaknya turut merampas lori bernilai RM70,000 terbabit, lima anak kunci berserta dua borang penghantaran tempahan minyak masak terbabit.

 Kes itu katanya kini disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel