Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Anggota parlimen Seremban, Rasah sampaikan sumbangan Ramadan


Tarikh kemaskini: 04/05/2019





SEREMBAN, 4 Mei (Bernama) -- Parlimen Seremban dan Rasah hari ini menyampaikan sumbangan kepada masjid serta surau di bawah Parlimen berkenaan bagi menyemarakkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini.

Anggota Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, yang menyampaikan peruntukan berjumlah RM147,000,  berkata sebanyak 19 masjid masing-masing menerima RM3,000 dan 90 buah surau menerima RM1,000. 

"Ini merupakan suatu inisiatif yang telah dimulakan sejak tahun 2013 ketika saya menjadi anggota Parlimen Seremban. Walaupun saya sebagai anggota Parlimen bukan beragama Islam tetapi kita cuba untuk mendekati dan memahami bersama dalam mengadakan inisiatif ini.

"Memang dalam beberapa tahun itu saya telah mengenali ramai pemimpin masyarakat terutama di peringkat surau. Kita berinteraksi dan melakukan moreh bersama sekali gus ia merupakan pendekatan amat penting sebagai wakil rakyat untuk lebih memahami dan mengenali pemimpin di kawasan akar umbi.

"Tahun ini kita telah membuat persediaan lebih awal supaya sumbangan peruntukan ini dapat disalurkan ke setiap masjid dan surau sebelum masuk bulan Ramadan dengan harapan dapat memberi bantuan kepada pihak masjid dan surau untuk melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan," katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau di bawah Parlimen Seremban di sini, hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, yang turut hadir berkata selain membantu masjid dan surau, majlis ini turut mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan dan kepimpinan masjid serta surau setempat.

Sementara itu, Anggota Parlimen Rasah Cha Kee Chin menyampaikan sumbangan buah kurma kepada lebih 50 buah masjid dan surau di bawah Parlimen Rasah.

“Bulan puasa ini merupakan bulan yang kita patut sama-sama raikan, saya sebagai Anggota Parlimen yang bertanggungjawab membantu dari segi peruntukan dan sebagainya dan ini juga merupakan satu daripada tanggungjawab saya menyalurkan bantuan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan buah kurma di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Rasah di sini, hari ini.

Cha berkata selain sumbangan buah kurma, beliau turut memberi sumbangan berbentuk barangan dapur kepada golongan asnaf di kawasan seliaannya sepanjang Ramadan.

-- BERNAMA

 

   

 
 
     
   
 

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     

Michael Wong Duta Pelancongan Perak

 
     

740 membida nombor pendaftaran kenderaan siri ALL setakat petang ini

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel