Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Datuk Bandar Ipoh dilantik dalam tempoh sebulan


Tarikh kemaskini: 04/05/2019





IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dilantik dalam tempoh sebulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong.

"Calon sudah ada…memang banyak desas desus siapa yang jadi calon tetapi kita tak boleh umum namanya sebelum upacara mengangkat sumpah dibuat," katanya kepada  pemberita selepas menghadiri perasmian jentera baharu Light Fire Rescue Tender (LFRT) Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Pekan Baru di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman.

April lalu, Menteri Besar Datuk Seri Faizal Azumu mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu bagi menggantikan Datuk Zamri Man akan dibuat akhir bulan lepas.

Sementara itu, Nga berkata sebanyak dua balai bomba dan penyelamat akan dibina di Perak masing-masing di Tambun dan Kampung Gajah yang dijangka siap tahun depan.

"Dengan siapnya kedua-dua buah balai bomba yang baharu itu, Perak akan mempunyai 34 balai bomba dengan keanggotaan kira-kira 1,111 orang.

"Ini sekali gus dapat memantapkan lagi pasukan bomba kita dalam menjalankan tugas. Saya juga ingin menyeru kepada semua supaya sentiasa berwaspada kerana dianggarkan dalam tempoh empat bulan tahun ini sahaja jumlah kerugian akibat kebakaran mencecah hingga RM60 juta," katanya.

PBS Pekan Baru yang ditubuhkan pada tahun 2017 mempunyai 40 anggota yang telah membantu JPBM Perak dalam lebih 250 kes kebakaran dan khidmat khas sepanjang tempoh penubuhannya.

-- BERNAMA

   

 
 
     
   
 

Jho Low ajar percepat proses pengeluaran jaminan kerajaan - Saksi

 
     

Dr Md Farid pemimpin muda yang komited bawa idea pembaharuan dalam kerajaan - Aminolhuda

 
     

Balu Mejar Zahir pohon hentikan spekulasi kematian suaminya

 
     

Sebutan kes pengubahan wang haram US$248 juta Riza Aziz pada 24 Sept

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel