Laman Utama  I  Berita Utara  I  Berita Selatan  I  Berita Timur  I  Berita Tengah  I Sabah & Sarawak  I  English Version I  BERNAMA.COM
 
 

Kerajaan Persekutuan digesa wujud jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak


Tarikh kemaskini: 03/05/2019





KUCHING, 3 Mei (Bernama) -- Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak menggesa kerajaan Persekutuan supaya mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sarawak dalam semangat sebenar status rakan setara antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Datuk Ding Kuang Hiing (GPS-Meradong) berkata ini akan membolehkan Menteri Hal Ehwal Sarawak mempunyai kata putus dalam semua perkara di peringkat Persekutuan sama ada yang berkaitan atau memberi kesan terhadap Sarawak.

“Baru-baru ini terdapat suara di peringkat akar umbi menggesa supaya diadakan pungutan suara membabitkan perkara yang paling utama kepada hak dan kepentingan Sarawak, khususnya dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) dan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau membahaskan usul terima kasih atas ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Datuk Tiong Thai King (GPS-Dudong) memuji langkah kerajaan negeri Sarawak untuk menjadi negeri pertama melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bagi pelajar sekolah rendah tidak lama lagi.

Sebagai tambahan, beliau berkata MA 63 memperuntukkan dan membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sidang DUN, mahkamah, dan Kabinet negeri di  Sabah serta Sarawak.

“Sungguhpun proses pelaksanaan bahasa Inggeris semestinya merupakan suatu tugas yang getir, kami berharap dengan usaha bersepadu kerajaan negeri dan Persekutuan, ia akan membuahkan kejayaan bagi pembangunan modal insan kita,” katanya.

Datuk Amar Jamilah Anu (GPS-Tanjong Datu), dalam perbahasannya, menyentuh tentang perkara berkaitan keselamatan terutamanya di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan dalam kawasan pilihan rayanya.

Beliau berkata apabila siap lebuhraya  Sematan-Telok Melano (Pan Borneo), terdapat banyak peluang untuk sempadan diceroboh, sama ada melalui darat atau laut, menerusi Taman Negara Tanjong Datu.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak berkuasa yang berkaitan, Majlis Keselamatan Negeri, untuk membangkitkan perkara ini kepada rakan sejawatan mereka di peringkat Persekutuan, supaya perkara berhubung keselamatan sempadan ini ditangani serta-merta,” katanya.

-- BERNAMA


 

   

 
 
     
   
 

Kastam Kelantan rampas pil kuda bernilai RM2.7 juta

 
     

Penjawat awam Kedah dapat bayaran khas RM750

 
     

Usaha memanjangkan LTSAS akan bermula tahun hadapan

 
     

Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Festival Busana Tradisional Kreatif KL 2019

 
     
 
     
 

.  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .  .

 
     
     
   
   
     
     
     
   
     
   
     
 

 
© 2019 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 35.0.1 & Internet Explorer 8.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel